Istilah perundangan tidak boleh dipandang ringan, elak kekeliruan awam – Pakar

PENGGUNAAN istilah perundangan dalam penyediaan sesuatu perintah mahkamah perlu diteliti dan diperhalusi bagi mengelakkan tafsiran berbeza yang boleh mencetuskan kekeliruan, khususnya apabila membabitkan kes berprofil tinggi seperti isu pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata, institusi kehakiman perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan istilah undang-undang, termasuk ketika menyediakan draf sesuatu perintah mahkamah.

PROF Dr Rusdi Omar

Beliau berkata, penggunaan istilah yang tidak tepat atau mencampuradukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu tanpa penjelasan sewajarnya boleh mengundang pelbagai tafsiran serta menyebabkan masyarakat gagal memahami maksud sebenar sesuatu keputusan.

“Penggunaan istilah perundangan ini kita kena berhati-hati kerana maksudnya boleh menjadi lain jika tidak digunakan mengikut konteks yang betul.

“Sebab itu pihak mahkamah tidak boleh mengambil mudah penggunaan istilah seperti ini kerana kesilapan dalam penulisan boleh membawa implikasi besar,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Isu berkenaan timbul susulan penggunaan perkataan discharge forthwith dalam perintah mahkamah berkaitan bekas Perdana Menteri itu yang perlu diteliti dengan mengambil kira Perintah Pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Perintah berkenaan memberikan pengurangan hukuman kepada Najib dengan pelaksanaan melalui tahanan rumah, bukannya pengampunan penuh.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum ini turut menegaskan kecacatan pada dokumen order of discharge berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu adalah sesuatu yang ketara dan tidak sepatutnya berlaku dalam sistem perundangan negara.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, Pendaftar Mahkamah Tinggi perlu memastikan penyediaan draf perintah mahkamah dilakukan dengan tepat dan tidak mengandungi istilah yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Katanya, perkara itu bukan sahaja membabitkan kepentingan individu yang terlibat, malah turut memberi kesan kepada institusi kehakiman, kerajaan dan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.

“Pendaftar Mahkamah Tinggi sepatutnya tidak membuat draf perintah yang mengelirukan. Ia perlu disediakan dengan betul kerana membabitkan undang-undang dan kepentingan awam.

“Perintah order of discharge itu perlu dibuat dengan penuh berhati-hati supaya bukan sahaja Datuk Seri Najib tidak terpalit, malah kerajaan juga tidak terheret dalam kontroversi,” katanya.

Bagaimanapun, Rusdi menegaskan perkara berkaitan pengampunan Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati kerana ia merupakan prerogatif Seri Paduka Baginda yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kuasa berkenaan tidak seharusnya dipertikaikan, sebaliknya semua pihak termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menghormati dan mengambil kira keputusan pengampunan yang telah diperkenankan.

“Berhubung perkara pengampunan Yang di-Pertuan Agong, kita perlu akur kerana ia adalah prerogatif Seri Paduka Baginda yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan Peguam Negara juga perlu akur dengan kedudukan dan kuasa tersebut,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here