SEORANG remaja maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta rasmi polis di Kilometer 63, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Bandar Permaisuri awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.35 pagi itu dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, motosikal yang ditunggang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu itu kemudian bertembung dengan kereta rasmi polis jenis Honda City.
“Motosikal itu bertembung dengan kereta rasmi polis jenis Honda City yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa, Muhammad Hazim Daniel Mohamad Radzi, 15, yang juga pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu.
Zahril Asri berkata, kereta rasmi polis berkenaan dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 32 tahun, iaitu pemandu serta penumpang kenderaan berkenaan.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu menerusi talian 09-609 8222 bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





