SekPur lapor polis, mahu status dokumen tahanan rumah Najib diperjelas

PENYEBARAN imej dokumen yang dikaitkan dengan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendorong Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) membuat laporan polis bagi mendapatkan penjelasan mengenai kesahihannya.

Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya mengenal pasti beberapa perkara dalam dokumen berkenaan yang menimbulkan persoalan, khususnya berkaitan maksud sebenar perintah yang dinyatakan.

Menurutnya, pihaknya mahu mendapatkan kepastian sama ada dokumen itu merujuk kepada pelepasan (discharge) atau pelaksanaan hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah.

“Kami hanya mahu mendapatkan pengesahan sama ada perintah itu merujuk kepada pelepasan (discharge) atau tahanan di rumah.

“Kekeliruan ini perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di ibu negara hari ini, lapor Berita RTM.

Razali berkata, tindakan itu bukan bertujuan menuding jari atau membuat tuduhan terhadap mana-mana individu, sebaliknya mahu memastikan persoalan berhubung dokumen berkenaan diselesaikan berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang.

Isu itu mendapat perhatian susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa sebarang hujah mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah menjurus kepada perbuatan mengingkari perintah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau mempunyai hasrat untuk menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here