Jakim teliti dakwaan unsur pemujaan dalam konsert The Weeknd

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang meneliti dakwaan wujud unsur ritual pemujaan yang bercanggah dengan akidah Islam dalam persembahan penyanyi antarabangsa, The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, Bahagian Penyelidikan Jakim sedang berhubung dengan urus setia Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan berkenaan.

Katanya, sebarang tindakan akan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang serta fakta yang disahkan, khususnya bagi memastikan persembahan artis tempatan dan antarabangsa tidak menjejaskan sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menegaskan Islam melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah, justeru semua pihak perlu memastikan elemen persembahan seni tidak mencetuskan kekeliruan berkaitan akidah dan akhlak.

Isu itu timbul selepas Pas mempersoalkan penggunaan patung emas gergasi serta beberapa elemen visual dalam konsert berkenaan yang didakwa mempunyai persamaan dengan ritual pemujaan.

Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda Pas, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya bimbang elemen sedemikian boleh dinormalisasikan dalam masyarakat atas alasan hiburan.

Beliau turut mendakwa konsep persembahan berkenaan diinspirasikan daripada sebuah karya fiksyen yang memaparkan tamadun mengangkat mesin sebagai tuhan, dengan tema keagungan, kehancuran dan kelahiran semula.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here