CUBAAN mencuri kabel bumi di kawasan landasan MRT Laluan Putrajaya berjaya dipatahkan selepas seorang lelaki ditahan dalam operasi risikan dan serbuan Polis Bantuan Rapid KL, Ahad lalu.
Rapid KL dalam kenyataan berkata, penahanan itu susulan kejadian cubaan mencuri kabel bumi pada Sabtu yang menyebabkan gangguan perkhidmatan tren MRT Laluan Putrajaya.
“Polis Bantuan bersama pasukan operasi Laluan Putrajaya meningkatkan rondaan, pemantauan dan kawalan keselamatan di beberapa lokasi berisiko, termasuk sepanjang cuti sambutan Deepavali.
“Dalam rondaan kira-kira jam 1 tengah hari pada 8 November lalu, anggota Polis Bantuan menemui sejumlah kabel bumi yang dipercayai cuba dicuri berhampiran pencawang bekalan elektrik (BSS) berdekatan Stesen Jinjang.
“Pemeriksaan mendapati kabel berkenaan sudah dipotong di lokasi lain sebelum ditinggalkan di kawasan BSS yang dipercayai untuk diambil dan dibawa keluar kemudian,” menurut kenyataan itu hari ini.
Susulan penemuan berkenaan, pemantauan dan intipan diteruskan di kawasan sekitar, termasuk sepanjang jajaran antara Stesen Jinjang dan Stesen Metro Prima bagi mengesan suspek.
“Hasil operasi itu, sebuah lori dikesan memasuki kawasan berkenaan kira-kira jam 11.57 malam dan dipercayai digunakan untuk mengangkut kabel yang sudah dipotong.
“Bagaimanapun, pemandu lori terbabit melarikan diri ketika serbuan dilakukan, manakala seorang suspek berjaya ditahan anggota Polis Bantuan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Rapid KL berkata, penahanan itu merupakan tangkapan kedua membabitkan kes cubaan mencuri kabel di kawasan operasi syarikat berkenaan dalam tempoh seminggu.
Menurutnya, kegiatan mencuri kabel dan pencerobohan ke kawasan landasan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membahayakan individu terbabit, merosakkan infrastruktur kritikal serta menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam.
Rapid KL turut memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa serta meningkatkan langkah keselamatan di kawasan operasi bagi melindungi aset dan memastikan kelancaran perkhidmatan kepada pengguna.





