ITU PP-26: Fahmi hadiri sesi libat urus peringkat tinggi Di Doha

MENTERI Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bersedia untuk satu lagi pusingan sesi libat urus peringkat tinggi di Doha hari ini, termasuk mesyuarat dua hala dengan wakil Qatar dan pertemuan dengan organisasi berita antarabangsa yang berpangkalan di Doha, Al Jazeera.

Fahmi, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26), akan memulakan program beliau di Digital Majlis Founding Roundtable, yang diadakan bersempena dengan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026.

Sesi meja bulat sulung tersebut, yang dijadualkan pada jam 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia), akan menyaksikan Fahmi menyampaikan ucapan mengenai pemerkasaan kerjasama digital.

Mengikut program rasminya, Fahmi seterusnya dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan wakil Qatar di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC), lapor Bernama.

Mesyuarat itu merupakan sebahagian daripada libat urus diplomatik Malaysia pada sela-sela persidangan ITU PP-26, yang bermula pada hari Isnin.

Fahmi juga dijadualkan untuk bertemu dengan wakil Al Jazeera, organisasi berita antarabangsa yang berpangkalan di Doha.

Pada sebelah petang, beliau akan menyertai High-Level Thematic Discussion on Resilience, di DECC. Beliau dijangka akan menyampaikan satu lagi ucapan semasa perbincangan itu, yang merupakan sebahagian daripada program ITU PP-26.

Pada sebelah malam, Fahmi dijadual menghadiri majlis makan malam dihoskan Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali, di Rumah Malaysia.

Fahmi kini berada di Doha, mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 dalam rangka lawatan kerja dari 6 hingga 11 Nov. Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.

Delegasi Malaysia turut merangkumi wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat-syarikat telekomunikasi termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

ITU PP-26, yang diadakan setiap empat tahun, merupakan persidangan pembuat keputusan tertinggi kesatuan tersebut, menghimpunkan negara-negara anggota untuk menentukan hala tuju strategik, dasar dan kepimpinannya bagi kitaran empat tahun akan datang.

Sebagai sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk teknologi digital, ITU memainkan peranan utama dalam kerjasama telekomunikasi antarabangsa, penyelarasan spektrum radio dan usaha-usaha untuk merapatkan jurang digital global.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here