MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan perintah pelepasan terdahulu membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan menggantikannya dengan perintah baharu yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan serta membetulkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Perintah terdahulu membolehkan Najib dilepaskan selepas menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.
Menerusi keputusan terbaharu itu, Najib diperintahkan menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah di alamat 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028.
Ketika membacakan keputusan, Aslam berkata, perintah pelepasan selepas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu dibatalkan sepenuhnya dan digantikan dengan perintah baharu.
“Selaras dengan pengampunan bersyarat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan secara tahanan rumah di alamat 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028,” katanya.




