MALAYSIA menggesa perhatian lebih diberikan kepada aspek ketahanan rangkaian telekomunikasi di lokasi ekonomi kritikal seperti pelabuhan, rangkaian kereta api, lebuh raya dan hab perindustrian, berikutan gangguan rangkaian berpotensi memberi kesan besar terhadap rantaian bekalan global serta aktiviti ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketersambungan yang boleh dipercayai di lokasi berkenaan semakin penting memandangkan infrastruktur digital berdepan ancaman yang semakin meningkat, termasuk cuaca ekstrem, serangan siber, kegagalan bekalan elektrik dan gangguan kabel dasar laut.
Beliau berkata, gangguan telekomunikasi di sebuah pelabuhan utama, misalnya, boleh menjejaskan operasi pengendalian kargo, mengganggu rantaian bekalan dan mencetuskan kesan ekonomi yang melangkaui sempadan negara.
“Dalam dunia yang saling berhubung hari ini, ketahanan telekomunikasi bukan sekadar memastikan rangkaian terus beroperasi. Sebaliknya, ia bagi memastikan perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi dapat diteruskan walaupun ketika berlaku gangguan,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Perbincangan Tematik Peringkat Tinggi mengenai Ketahanan sempena Persidangan Berkuasa Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26), di Doha hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, Malaysia sedang meneroka pendekatan lebih menyeluruh terhadap ketersambungan digital dengan melengkapkan kerangka sedia ada Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) menerusi konsep baharu yang dicadangkan iaitu Liputan Kawasan Ekonomi (CoEA).
Menurutnya, pendekatan itu akan memberikan penekanan lebih besar kepada lokasi strategik ekonomi yang mempunyai populasi penduduk agak kecil, tetapi sangat bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi tanpa gangguan.
“Daripada cuaca ekstrem dan serangan siber kepada kegagalan bekalan elektrik serta gangguan kabel dasar laut, risiko yang dihadapi infrastruktur digital kita semakin kompleks.
“Bagi Malaysia, keadaan ini menimbulkan persoalan penting: Adakah kita memberikan perhatian secukupnya terhadap ketahanan ketersambungan di kawasan yang kritikal kepada ekonomi kita?” katanya.
Fahmi berkata, Malaysia telah mencadangkan supaya ITU mempertimbangkan penerokaan konsep CoEA bersama negara anggota sebagai pendekatan pelengkap dalam menilai ketersambungan serta menyokong pembangunan digital yang lebih inklusif dan mampan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peluasan liputan telekomunikasi semata-mata tidak mencukupi tanpa memastikan rangkaian mampu bertahan ketika berlaku gangguan dan dipulihkan dengan segera.
Katanya, infrastruktur digital kritikal perlu disokong dengan sistem rangkaian sandaran yang mencukupi, laluan ketersambungan alternatif, bekalan kuasa sokongan serta keupayaan pemulihan perkhidmatan dengan pantas.
Teknologi baharu khususnya kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi satelit juga berpotensi memperkukuh pemantauan rangkaian, kesiapsiagaan menghadapi bencana serta kesinambungan perkhidmatan.
Beliau berkata, kerjasama antarabangsa turut penting memandangkan infrastruktur digital saling berhubung dan gangguan telekomunikasi berpotensi memberi kesan merentasi sempadan negara.
Katanya, ITU boleh memainkan peranan penting membantu negara anggota memperkukuh ketahanan rangkaian menerusi piawaian teknikal bersama, pembangunan kapasiti serta perkongsian amalan terbaik.
“Kesimpulannya, ketahanan bukan hanya mengenai usaha melindungi rangkaian kita. Sebaliknya, ia adalah mengenai usaha melindungi masyarakat, perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi yang bergantung kepadanya,” katanya.
Fahmi menegaskan semula komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama rapat dengan ITU dan negara anggota lain bagi membina masa depan digital yang lebih selamat, boleh dipercayai dan berdaya tahan.





