PM titip kata semangat buat Aina Abdul, harap harumkan nama Malaysia di Eurovision Asia

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyertaan Aina Abdul dalam pertandingan sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 sebagai bukti kemampuan bakat seni tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian penyanyi itu yang bakal membawa nama Malaysia pada pertandingan berkenaan di Bangkok, Thailand, 14 November ini.

Anwar turut mendoakan agar Aina dapat memberikan persembahan terbaik dengan penuh keyakinan dan semangat ketika berentap bersama peserta dari negara lain.

“Selamat maju jaya buat Aina Abdul yang akan membawa nama Malaysia di pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand.

“Menang atau sebaliknya, Aina tetap kebanggaan kita semua. Terbang tinggi, Aina!” katanya dalam hantaran itu.

Beliau berkata, penyertaan itu membuktikan bakat serta karya anak Malaysia berupaya melangkah lebih jauh dan mendapat tempat di pentas antarabangsa.

“Pastinya, seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.

Pemilihan Aina sebagai wakil negara diumumkan pada Anugerah Juara Lagu ke-40, 15 Ogos lalu.

Penyanyi itu bakal mempersembahkan lagu Bluest Sky dalam pertandingan yang menghimpunkan wakil dari 11 negara Asia berkenaan.

Berdasarkan susunan persembahan yang diumumkan penganjur pada 29 Oktober lalu, Aina dijadualkan membuat persembahan sebagai peserta ke-11, sekali gus menjadi wakil terakhir yang tampil pada pertandingan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here