KERUGIAN keseluruhan kira-kira RM13 bilion yang dikaitkan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) merangkumi dua komponen berbeza, iaitu kerugian pelaburan sebanyak RM2.8 bilion dan RM10.2 bilion membabitkan premium pemindahan aset kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).
Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan, komponen terbesar itu berpunca daripada pemindahan aset TH kepada UJSB pada 2018 bernilai RM19.9 bilion, sedangkan nilai pasaran aset berkenaan ketika itu hanya RM9.7 bilion.
Manakala kerugian pelaburan berjumlah RM2.8 bilion membabitkan pelaburan yang kekal di bawah pengurusan TH bagi tempoh 2018 hingga 2025.
Menurut MoF, berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sebanyak 14 pelaburan TH dikenal pasti bermasalah, dengan tujuh daripadanya mengalami kerugian sepenuhnya selepas dirosot nilai sepenuhnya.
Tujuh pelaburan itu membabitkan Putrajaya Perdana Berhad (PPB) dengan kerugian RM193.49 juta, Al-Rawda Real Estates (RM1.86 bilion), Trurich Resources Sdn Bhd (RM364.31 juta), Emrail Sdn Bhd (RM19.3 juta), Wellspring Worldwide Ltd (RM18.4 juta), Abraj Sdn Bhd (RM40.23 juta) dan Al-Fareeda Residential Fund (RM82 juta).
“Di samping itu, satu pelaburan lagi iaitu TH Marine Holding (L) Inc merekodkan kerugian RM198.10 juta selepas dirosot nilai sebahagiannya menjadikan jumlah keseluruhan kerugian pelaburan TH dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion.
“Selain itu, TH turut melaksanakan pelbagai langkah pemulihan bagi melindungi kepentingan serta mendapatkan semula dana pendeposit. Sebahagian daripada pelaburan itu berjaya dipulihkan, manakala tindakan pemulihan bagi pelaburan yang lain masih diteruskan,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.
Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta pecahan kerugian bagi setiap daripada 14 pelaburan bermasalah seperti disenaraikan dalam laporan RCI TH.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai hasil pelupusan, dividen dan pendapatan yang diterima daripada setiap pelaburan sejak laporan berkenaan sehingga kini.
Mengulas lanjut, MoF berkata, enam lagi pelaburan yang dikenal pasti bermasalah ialah PT TH Indo Plantations, Deru Semangat Sdn Bhd, TH Plantations Berhad, TH Properties Sdn Bhd, TH Hotel & Residences Sdn Bhd dan saham FGV Holdings Berhad.
Menurut kementerian itu, isu berkenaan berpunca daripada kelemahan tadbir urus serius sehingga menyebabkan urus niaga dilakukan dengan mengetepikan kepentingan pendeposit bagi memberikan kelebihan kepada pihak lain.
Berhubung permintaan pecahan kerugian, hasil pelupusan, dividen dan pendapatan bagi setiap pelaburan, kementerian menjelaskan angka berkenaan perlu diselaraskan mengikut tempoh transaksi dan asas perakaunan yang sama.
Langkah itu penting bagi mengelakkan hasil transaksi terdahulu, pembalikan rosot nilai dan penerimaan tunai dikira berulang kali atau dianggap sebagai pendapatan baharu selepas laporan RCI.
Kerajaan, menurut MoF, akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, pengurusan risiko serta pemantauan pelaburan TH bagi melindungi kepentingan pendeposit.
“Penambahbaikan juga sedang dilaksanakan bagi memastikan tadbir urus pelaburan yang telus dan teratur untuk melindungi kepentingan pendeposit membabitkan pindaan Akta Tabung Haji 1955 [Akta 535],” menurut jawapan bertulis itu.




