BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dikembalikan serta-merta ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan pihak berkuasa sekiranya melanggar syarat tahanan rumah ketika menjalani baki hukuman kes SRC International.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu sudah ditetapkan secara jelas dalam syarat tahanan rumah Najib, termasuk tatacara yang perlu diikuti sekiranya berlaku sebarang pelanggaran.
Katanya, kerajaan turut mengambil kira kemungkinan berlakunya pelanggaran syarat dan menetapkan tindakan tegas bagi memastikan semua ketetapan dipatuhi.
“Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan, langgar segera dibatalkan dan dikembalikan ke penjara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada tahanan rumah Najib boleh dibatalkan sekiranya beliau melanggar syarat, termasuk mengadakan ceramah menerusi Zoom, mesyuarat dalam talian atau mengemukakan permintaan tertentu.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah pada 10 November lalu dan hukuman itu dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028.
Saifuddin Nasution dalam pada itu berkata, kerajaan tidak menanggung sebarang kos tambahan bagi kawalan keselamatan Najib di kediamannya kerana penugasan anggota Jabatan Penjara dan polis hanya disusun semula.
Beliau menjelaskan, anggota penjara yang sebelum ini bertugas di Penjara Kajang kini ditempatkan di kediaman Najib, manakala kawalan polis diteruskan berdasarkan penugasan sedia ada.
Katanya, kawalan di kediaman berkenaan membabitkan tiga anggota penjara bagi setiap syif dengan tiga syif sehari, selain pemantauan polis secara statik dan berterusan.
“Jadi kita cuma atur tugas sahaja. Kalau dulu dia bertugas di Kajang, sekarang dia bertugas di situ. Jadi tidak ada kos tambahan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) berhubung berapa kos tambahan terpaksa ditanggung kerajaan berikutan pelaksanaan perintah tahanan di rumah itu.





