AGC bantah permohonan Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib

JABATAN Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bantahan itu dikemukakan menerusi Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang berhujah keputusan berkenaan membabitkan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan tidak boleh diadili mahkamah.

ZAINUR Zakaria. GAMBAR: The Edge

Beliau berkata, AGC baru menerima permohonan berkenaan menerusi e-mel dua hari lalu dan memerlukan masa untuk meneliti kandungannya sebelum mengemukakan bantahan secara bertulis.

“Keputusan dipersoalkan berkaitan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili mahkamah,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, lapor BH.

Sementara itu, peguam mewakili Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee turut memohon kebenaran memfailkan hujahan bertulis kerana keputusan mahkamah kelak boleh memberi kesan terhadap pelaksanaan tahanan rumah yang sedang dijalani anak guamnya.

MUHAMMAD Farhan Muhammad Shafee. GAMBAR: The Edge

Peguam mewakili Badan Peguam, Zainur Zakaria pula memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan AGC dan peguam Najib untuk mendapatkan masa bagi mengemukakan hujahan masing-masing.

Hakim Mahkamah Tinggi, S Indra Nehru kemudian mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 14 Disember ini.

Mahkamah turut menetapkan 17 Mac tahun depan bagi pendengaran bantahan AGC terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.

Pada 10 November lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai responden pertama.

Tiga lagi responden ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Komisioner Jeneral Penjara Malaysia serta Najib.

Menerusi permohonan itu, Badan Peguam menuntut deklarasi bahawa prosiding, keputusan dan aturan tahanan rumah yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu pada 18 September lalu adalah tidak sah serta bertentangan dengan Perlembagaan.

Badan itu turut memohon perintah certiorari bagi mengetepikan dan membatalkan keputusan berkenaan serta prosiding berkaitan.

Selain itu, Badan Peguam memohon supaya pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Presiden UMNO itu ditangguhkan serta-merta sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman sekiranya kebenaran untuk meneruskan prosiding diberikan.

Pada 6 November lalu, Najib menyelesaikan bayaran denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dijalani menerusi tahanan rumah.

Beliau kemudian pulang ke kediamannya di Langgak Duta pada 10 November lalu untuk menjalani baki hukuman berkenaan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here