PERTELINGKAHAN terbuka antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang semakin ketara, termasuk desakan supaya Parlimen dibubarkan serta kontroversi membabitkan Anthony Loke dalam isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak, berpotensi menjejaskan kestabilan dan imej Kerajaan Perpaduan.
Keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap kesepakatan antara parti yang membentuk kerajaan, terutama apabila perbezaan pendirian tidak lagi terbatas dalam perbincangan dalaman, sebaliknya diterjemahkan menerusi serangan terbuka antara pemimpin.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, pertelingkahan sedemikian boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan sekiranya pemimpin lebih menumpukan persaingan politik sesama sendiri berbanding menyelesaikan isu yang dekat dengan kepentingan rakyat.

Menurutnya, kerajaan bagaimanapun tidak semestinya tumbang selagi kepimpinan parti komponen masih mempunyai komitmen untuk mempertahankan kerjasama politik yang dibentuk.
“Isunya bukan sekadar perbezaan pandangan tetapi apabila serangan terbuka menjadi budaya politik. Rakyat boleh hilang keyakinan apabila pemimpin lebih berpolitik sesama sendiri daripada menyelesaikan masalah rakyat.
“Persepsi ini perlu ditangani dengan baik dan kebijaksanaan politik sedang diuji,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Mengulas kemungkinan BN menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, Sivamurugan berpandangan parti itu tidak seharusnya membuat keputusan terburu-buru kerana tindakan sedemikian bukan penyelesaian automatik, malah berisiko mencetuskan ketidaktentuan politik dan menjejaskan kepentingan negara.
Bagaimanapun, katanya, BN perlu menilai semula kedudukan serta prinsip kerjasamanya sekiranya suara dan kepentingan parti terus diketepikan dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, kerjasama politik seharusnya berasaskan rasa hormat, kepercayaan dan tanggungjawab bersama, bukannya sekadar kepentingan untuk mengekalkan kuasa.
Malah, BN sebelum ini menyatakan komitmen untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukannya pada November 2022.
“BN barangkali perlu kekal buat masa ini tetapi tidak boleh dilihat sekadar menjadi rakan kerajaan tanpa suara dan pengaruh.
“PH juga perlu memahami bahawa kestabilan kerajaan bukan tanggungjawab BN semata-mata. Ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melihat peletakan jawatan Anthony pada 10 November lalu, selepas Najib memulakan tahanan rumah, sebagai satu perkembangan yang menambah tekanan politik terhadap kerajaan.
Walaupun Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan perbezaan pendirian itu tidak menjejaskan hubungan BN-PH, Sivamurugan berpandangan isu berkenaan tetap mempunyai implikasi terhadap hubungan antara parti komponen kerajaan.
Katanya, pendirian Anthony yang dikaitkan dengan isu tahanan rumah Najib bukan sahaja dilihat sebagai perbezaan prinsip peribadi, malah boleh ditafsirkan sebagai bercanggah dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata, perkara itu turut menyentuh kedudukan serta kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas kedudukan semasa kerajaan, Sivamurugan berkata, Kerajaan Perpaduan mungkin masih mempunyai sokongan angka yang mencukupi untuk terus mentadbir, namun persoalan lebih besar kini berkisar kepada kepercayaan dan kesepakatan politik dalam kalangan parti yang membentuknya.
“Jangan sampai kerajaan nampak bersatu di Kabinet tetapi berpecah di pentas politik,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu juga menjadi ujian besar kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid dalam mengurus hubungan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Katanya, perkembangan politik semasa memperlihatkan kemungkinan wujud usaha membentuk penyatuan atau kerjasama baharu dalam kalangan parti, yang mungkin menjadi lebih jelas apabila Parlimen dibubarkan kelak.





