PH akan batalkan enakmen pelantikan tujuh ADUN jika menang PRN Melaka

PAKATAN Harapan (PH) berhasrat membatalkan enakmen yang membolehkan pelantikan tujuh ADUN lantikan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata penjimatan perbelanjaan daripada pembatalan enakmen itu, akan disalurkan kepada bantuan pemilikan rumah untuk golongan belia serta pembangunan usahawan muda di negeri itu.

Katanya berkata langkah itu merupakan antara tawaran PH menerusi Aspirasi Melaka Rumah Kita, yang memberi tumpuan kepada keperluan rakyat, khususnya golongan muda.

“Kita tahu bahawa di Melaka ada tujuh ADUN lantikan (dalam Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka) telah diluluskan peringkat Dewan Undangan Negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dan sekiranya rakyat Melaka memberi mandat kepada PH, maka kita akan membatalkan tujuh ADUN lantikan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PH, di Bukit Baru hari ini.

Selain itu, Adly berkata PH turut berhasrat membuka semula kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara bagi mengadakan sesi Hari Bertemu Rakyat secara berkala, sekiranya kembali mentadbir.

Beliau berkata inisiatif yang telah dilaksanakan ketika PH mentadbir Melaka pada 2018, bertujuan memudahkan rakyat bertemu secara langsung dengan pemimpin tertinggi kerajaan negeri, bagi mengemukakan masalah dan mendapatkan penyelesaian terhadap isu yang mereka dihadapi.

“Hari Bertemu Rakyat pernah dilaksanakan PH ketika mentadbir Melaka pada setiap Jumaat dan sebahagian besar daripada isu yang diadukan rakyat, boleh diselesaikan dengan pertemuan antara rakyat dan juga pemimpin tertinggi kerajaan negeri,” katanya.

Adly yang juga calon PH bagi DUN Bukit Katil merayu pengundi di negeri itu, supaya memberikan sokongan kepada calon PH yang bertanding di 24 daripada 28 kerusi DUN PRN Melaka ke-16.

Beliau berkata sokongan itu penting, bagi memberi peluang kepada calon PH membuktikan keupayaan mereka dalam menyuarakan isu rakyat di DUN, selain memastikan pelbagai tawaran yang dikemukakan dapat dilaksanakan.

“Berikan mereka peluang berkhidmat di DUN Melaka dan kami juga mahu membuktikan keupayaan melalui kerja di kawasan, tindakan di dewan serta mengemukakan dasar-dasar untuk menunaikan tawaran yang telah dibentangkan. Undi anda ialah amanah yang tidak akan kami sia-siakan,” katanya.

Beliau turut berharap pengundi, khususnya yang berada di luar Melaka, supaya merancang perjalanan pulang lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab, 14 Nov ini.

Adly berkata pengundi dalam Melaka juga diminta untuk keluar mengundi seawal mungkin terutama pada sebelah pagi, memandangkan keadaan cuaca di negeri itu sering hujan pada sebelah petang.

“Mereka tidak semestinya mengikut masa keluar mengundi yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam maklumat daftar pemilih,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here