Polis pantau laporan Nubhan dakwa rumah didatangi pengutip hutang

POLIS mengesahkan menerima laporan daripada penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, berhubung dakwaan rumahnya didatangi pengutip hutang yang dipercayai mencari bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat di Balai Polis Paroi pada 23 Oktober lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, laporan berkenaan hanya diklasifikasikan sebagai laporan makluman atau cover report dan tiada kertas siasatan dibuka setakat ini.

“Pihak polis bagaimanapun terus memantau perkembangan kes ini.

“Kami juga tidak mahu mengulas lanjut kerana perkara berkenaan membabitkan hal peribadi dan sulit,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Nubhan sebelum ini dilaporkan membuat laporan polis atas faktor keselamatan selepas mendakwa kediamannya dikunjungi sekumpulan pengutip hutang yang dipercayai sedang mencari bekas isterinya.

Menerusi perkongsian salinan laporan polis di Facebook malam tadi, penyanyi berusia 40 tahun itu mendakwa individu terbabit mencari Dr Fie susulan hutang dalam jumlah besar yang didakwa belum diselesaikan selain tidak memberikan kerjasama.

Nubhan berkata, tindakan membuat laporan itu bertujuan memastikan keselamatan anak-anaknya terpelihara dan mengelakkan mereka daripada mengalami ketakutan serta trauma akibat gangguan berkenaan.

“Saya tidak mahu anak-anak saya diganggu oleh pihak pengutip hutang berkenaan kerana bimbang mereka berada dalam keadaan ketakutan dan trauma, sekali gus menjejaskan emosi mereka.

“Atas hal ini, saya datang ke balai buat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak-anak serta takut terjadi apa-apa hal di kemudian hari,” katanya menerusi laporan polis yang dikongsikan itu.

Bekas peserta Akademi Fantasia itu turut menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya keselamatan dirinya, anak-anak dan keluarga terancam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here