PENGUNAAN teknologi mekanisasi dan automasi dalam sektor perladangan berjaya mengurangkan keperluan tenaga kerja sebanyak 2,252 pekerja atau 29 peratus menerusi pelaksanaan Project Infinity oleh SD Guthrie Berhad sejak 2021.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu membabitkan penggunaan 444 mesin setakat Jun 2026 bagi melaksanakan aktiviti bukan penuaian termasuk pembajaan, kawalan rumpai serta perosak dan penyakit.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan turut membantu mengurangkan kebergantungan syarikat terhadap pekerja asing tanpa melibatkan pemberhentian pekerja sedia ada.
Menurutnya, jumlah pekerja asing SD Guthrie turut menurun sebanyak 18 peratus daripada 22,607 orang pada 2019 kepada 18,435 orang.
“Penggunaan teknologi turut meningkatkan nisbah keluasan tanah kepada pekerja daripada 1:11 kepada 1:13, melebihi julat biasa industri sekitar 1:8 hingga 1:10.
“Walaupun jumlah jentera dikurangkan sebanyak 53 peratus, produktiviti setiap mesin meningkat 51 peratus, manakala kapasiti efektif meningkat sebanyak 2.45 kali ganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) turut memperkukuh pembangunan tenaga kerja tempatan menerusi Program Pakar Mesin (Machine Specialist) dengan kerjasama SD Guthrie dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program berkenaan dilaksanakan melalui agensi kementerian, Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Setakat ini, katanya, sebanyak 503 anak tempatan berjaya dilatih dan ditempatkan dalam industri dengan purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan.
Noraini berkata, perkembangan itu membuktikan sektor perladangan moden berupaya menawarkan peluang kerjaya berkemahiran dengan pendapatan kompetitif kepada golongan belia.
Sehubungan itu, KPK akan terus menyokong kerjasama dengan pihak industri bagi mempercepat penggunaan teknologi serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).





