SEORANG lelaki maut selepas kereta Perodua Bezza dinaikinya bertembung dengan sebuah lori Hino tiga tan di Kilometer 886.1 Lebuhraya Pan Borneo, laluan Bintulu-Miri, awal pagi tadi.
Mangsa, Agot Anak Janang, 31, yang duduk di kerusi penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemandu kereta berkenaan, Nelson John Kathil, 27, mengalami kecederaan pada muka dan jari tangan kanan, manakala dua lelaki yang menaiki lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.48 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan jalan raya membabitkan Perodua Bezza dan lori Hino tiga tan.
“Seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 32 tahun tidak sedarkan diri di kerusi penumpang Perodua Bezza, manakala pemandunya mengalami kecederaan di muka dan jari tangan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri dari kenderaan berkenaan.
Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas KKM.
Sementara itu, jurucakap JBPM memaklumkan, pemandu Perodua Bezza diberikan rawatan awal.





