RUPIAH Indonesia merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus mendorong Bank Indonesia campur tangan dalam pasaran bagi menstabilkan mata wang negara itu.
Mata wang berkenaan susut kepada 18,253 rupiah bagi setiap dolar AS dalam dagangan petang Khamis, ketika pelabur beralih kepada mata wang AS susulan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) meneruskan kenaikan kadar faedah.
Perkembangan itu menambah tekanan terhadap ekonomi Indonesia ketika kerajaan berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidakpuasan rakyat terhadap keadaan ekonomi, isu rasuah dan kebakaran hutan.
Bagaimanapun, kerajaan Indonesia memberi jaminan subsidi bahan api akan terus dikekalkan sehingga akhir tahun ini meskipun nilai rupiah berdepan tekanan berbanding dolar AS.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, kerajaan telah mengambil kira kemungkinan peningkatan harga minyak global dan penyusutan nilai mata wang negara itu dalam perancangan kewangan.
Beliau berkata, rupiah susut 90 mata atau 0.50 peratus kepada 18,239 bagi setiap dolar AS pada penutupan dagangan berbanding 18,149 sebelumnya.
“Kami melihat berlaku turun naik, namun selagi harga minyak global kekal dalam lingkungan AS$92 hingga AS$93 setong dan nilai rupiah berada pada paras semasa, subsidi bahan api akan kekal terjamin sehingga Disember,” katanya, lapor ANTARA.
Menurutnya, kerajaan sudah membuat pengiraan dan yakin Belanjawan Negara masih mampu menampung peningkatan harga minyak global, termasuk sekiranya harga purata mencecah AS$100 setong sepanjang tahun ini.
Jaminan itu diberikan ketika pasaran turut memantau kesan konflik antara AS dan Iran pada awal 2026 terhadap harga tenaga serta kedudukan ekonomi Indonesia.





