OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki warga India yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, hari ini tertumpu di sektor B, C dan D dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) serta dron.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian di sektor B dilaksanakan secara terperinci di kawasan titik panas menggunakan teknik sweep and sniff.
Menurutnya, operasi itu membabitkan Unit STORM JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) SEIRA dan MGP.
“Pencarian di sektor C pula melibatkan dua ekor anjing K9 dan pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM di kawasan jeram terakhir serta rumpun sampah kayu menggunakan teknik sniff and dive.
“Dua dron daripada PGU Operasi turut digunakan bagi melaksanakan pencarian di permukaan air di sektor D,” katanya.
Beliau berkata, penambahan anggota penyelam daripada PPDA JBPM Selangor turut dilakukan bagi memperincikan operasi pencarian di sektor C.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Isnin lalu, lapan lelaki daripada empat kumpulan pengunjung dihanyutkan arus deras akibat kepala air ketika berada di kawasan rekreasi Sungai Pertak.
Daripada 34 individu yang terbabit, seramai 26 berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan, manakala enam daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus ditemukan meninggal dunia.





