
Oleh: Prof Dr Ramalinggam Rajamanickam
MALAYSIA meningkat tiga anak tangga dalam World Justice Project (WJP) Rule of Law Index 2026, daripada kedudukan ke-56 kepada ke-53 daripada 143 negara. Pada zahirnya, kedudukan ini ialah perkembangan yang menggembirakan. Namun, di sebalik kenaikan tersebut, skor keseluruhan negara masih kekal pada 0.57 berdasarkan angka yang diterbitkan.
Kedudukan meningkat, tetapi skor tidak berubah. Apakah sebenarnya yang telah kita capai?
Inilah persoalan yang perlu dijawab secara objektif. Kedudukan merupakan ukuran relatif yang turut dipengaruhi oleh prestasi negara lain. Sebaliknya, skor memberikan gambaran tentang tahap pencapaian berdasarkan indikator yang dinilai. Oleh itu, kenaikan kedudukan tidak semestinya membuktikan peningkatan substantif dalam kedaulatan undang-undang.
Lebih membimbangkan, prestasi Malaysia masih berlegar sekitar paras yang hampir sama sejak sekian lama. Keadaan ini menimbulkan persoalan lebih mendasar: mengapakah pelbagai agenda reformasi belum menghasilkan lonjakan yang benar-benar ketara?
Kemajuan tidak sekata, kelemahan masih ketara
Penelitian tentang lapan faktor WJP memperlihatkan realiti yang tidak boleh dipandang ringan. Empat faktor meningkat sebanyak 0.01, dua faktor menurun sebanyak 0.01 dan dua lagi kekal berdasarkan skor yang dibundarkan.
Faktor Kerajaan Terbuka terus menjadi kelemahan paling ketara. Walaupun skornya meningkat sedikit daripada 0.41 kepada 0.42, Malaysia masih berada pada kedudukan ke-104 daripada 143 negara.
Angka ini membawa mesej yang penting. Ketelusan pentadbiran, akses kepada maklumat, penyertaan masyarakat dan keberkesanan mekanisme aduan masih memerlukan pembaharuan yang lebih berkesan.
Lebih membimbangkan, faktor Ketiadaan Rasuah merosot daripada 0.57 kepada 0.56, manakala Faktor Keadilan Sivil menurun daripada 0.62 kepada 0.61.
Penurunan kecil ini tidak wajar ditafsirkan sebagai bukti kegagalan keseluruhan reformasi. Namun, ia cukup untuk menuntut penelitian serius tentang keberkesanan pelaksanaan, integriti institusi dan pengalaman rakyat untuk mendapatkan keadilan.
Pada masa yang sama, Faktor Ketenteraman dan Keselamatan kekal sebagai kekuatan Malaysia dengan skor 0.78. Namun, keamanan sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan kedaulatan undang-undang yang kukuh.
Negara yang aman belum tentu mempunyai institusi yang telus, pentadbiran yang bertanggungjawab dan sistem keadilan yang benar-benar mudah untuk diakses.
Mengapakah reformasi belum mengubah skor?
Malaysia tidak ketandusan dasar, jawatankuasa atau inisiatif pembaharuan. Persoalan sebenar bukan lagi berapa banyak reformasi yang diumumkan, tetapi sejauh mana reformasi tersebut menghasilkan perubahan yang boleh diukur.
Menggubal undang-undang baharu tidak semestinya mengubah amalan institusi. Mengumumkan dasar integriti tidak semestinya menghapuskan ruang penyalahgunaan kuasa. Menubuhkan mekanisme aduan pula tidak menjamin aduan diselesaikan secara berkesan.
Reformasi yang hanya kelihatan dalam dokumen, tetapi tidak dirasai oleh rakyat, sukar diterjemahkan kepada peningkatan kedaulatan undang-undang yang bermakna.
Tambahan pula, penilaian WJP melibatkan pengalaman masyarakat dan pandangan pakar. Oleh itu, terdapat kemungkinan jurang antara reformasi yang dilaksanakan dengan perubahan yang benar-benar dialami atau diperhatikan oleh pihak yang dinilai.
Namun, jurang tersebut perlu dibuktikan melalui penyelidikan empirikal, bukan sekadar andaian.
Inilah sebabnya Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih sistematik untuk mengenal pasti kelemahan pada peringkat faktor dan subfaktor, menilai keberkesanan pelaksanaan serta menentukan reformasi yang benar-benar perlu diutamakan.
WJP dan CPI: Dua indeks, satu kepentingan strategik
Prestasi WJP juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya hubungannya dengan Corruption Perceptions Index (CPI) yang diterbitkan oleh Transparency International (TI).
Penilaian WJP merupakan satu daripada sumber yang digunakan dalam pengiraan CPI Malaysia. Oleh itu, prestasi kedaulatan undang-undang mempunyai kepentingan strategik terhadap usaha untuk memperkukuh kedudukan negara dalam penilaian persepsi rasuah antarabangsa.
Namun, hubungan ini tidak boleh disederhanakan dengan menganggap setiap peningkatan WJP akan meningkatkan CPI secara automatik. CPI menggunakan pelbagai sumber dan metodologi tersendiri.
Perkara yang lebih penting ialah kedua-dua indeks memberikan isyarat tentang kepentingan integriti institusi, kawalan penyalahgunaan kuasa dan keberkesanan tadbir urus.
Jika Malaysia serius dalam meningkatkan CPI, usaha tersebut tidak boleh bergantung pada tindakan penguatkuasaan rasuah semata-mata. Pembaharuan perlu merangkumi pengukuhan mekanisme semak dan imbang, kebebasan institusi, ketelusan keputusan pentadbiran, keberkesanan audit dan pertanggungjawaban pihak yang memegang kuasa.
Usaha memerangi rasuah perlu seiring dengan pengukuhan kedaulatan undang-undang agar bukan sahaja gejalanya ditangani, malah kelemahan struktur dan institusi yang membuka ruang kepada rasuah turut dibetulkan.
Tiga keutamaan yang tidak boleh ditangguhkan
Pertama, reformasi institusi dan undang-undang mesti berasaskan bukti. Setiap kelemahan yang dikenal pasti perlu diterjemahkan kepada tindakan khusus, agensi yang bertanggungjawab, garis masa pelaksanaan dan petunjuk prestasi yang jelas. Keutamaan perlu diberikan kepada Faktor Kerajaan Terbuka, Faktor Ketiadaan Rasuah dan Faktor Keadilan Sivil.
Kedua, komunikasi strategik mesti berasaskan pencapaian, bukan publisiti. Kerajaan perlu menjelaskan reformasi yang telah dilaksanakan, hasil yang dicapai dan kelemahan yang masih belum diselesaikan. Komunikasi yang berkesan mampu meningkatkan kefahaman masyarakat, tetapi tidak boleh menggantikan pembaharuan sebenar.
Ketiga, sesi libat urus mesti menjadi mekanisme penambahbaikan, bukan sekadar acara rundingan semata-mata. Pengalaman rakyat, pengamal undang-undang, ahli akademik, sektor perniagaan dan masyarakat sivil perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti jurang antara dasar dengan pelaksanaan.
Ketiga-tiga pendekatan ini perlu disokong oleh pemantauan yang berterusan dan penilaian tempatan yang berasaskan data.
Memacu reformasi, memperkukuh kedaulatan Undang-undang
Sudah tiba masanya Malaysia mengubah pendekatan daripada sekadar mengejar kedudukan kepada usaha untuk menambah baik hasil sebenar reformasi.
WJP bukan sekadar papan kedudukan antarabangsa. Indeks ini sepatutnya menjadi alat diagnosis untuk mengenal pasti kelemahan institusi, menetapkan keutamaan pembaharuan dan menilai kemajuan negara secara berterusan.
Kenaikan tiga anak tangga wajar dihargai. Namun, kita tidak boleh terlalu cepat meraikannya apabila skor keseluruhan masih kekal pada 0.57.
Kejayaan reformasi bukan diukur melalui jumlah dasar yang diumumkan, undang-undang yang dipinda atau jawatankuasa yang ditubuhkan, tetapi melalui perubahan sebenar terhadap integriti institusi, keberkesanan pentadbiran dan keadilan yang dinikmati oleh rakyat.
Malaysia tidak boleh terus berpuas hati dengan peningkatan kedudukan yang kecil tanpa memastikan peningkatan kualiti kedaulatan undang-undang yang berterusan.
Akhirnya, persoalan yang perlu dijawab bukan sekadar di tangga berapa Malaysia berada, tetapi sejauh mana kedaulatan undang-undang benar-benar ditegakkan. Peningkatan kedudukan dalam indeks antarabangsa wajar diraikan, namun kejayaan yang lebih bermakna adalah apabila kemajuan tersebut diterjemahkan kepada sebuah negara yang lebih adil, telus dan berintegriti.
*Penulis ialah pensyarah di Fakulti Undang-undang, Universiti Multimedia (MMU)





