LELAKI warga asing yang menetak seorang anggota polis menggunakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong pada Rabu lalu, dipercayai mengalami masalah kesihatan mental sebelum kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati seorang kenalan suspek pernah membuat laporan polis mendakwa lelaki itu berada dalam keadaan mental tidak stabil dan bertindak agresif di kediamannya.
Susulan laporan itu, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi berkenaan.
“Berdasarkan maklumat diterima, setakat ini, kami percaya suspek berada dalam keadaan mental tidak stabil ketika kejadian.
“Bagaimanapun, punca sebenar keadaan itu masih dalam siasatan, termasuk menerusi keterangan rakan dan kenalan suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini, lapor NST.
Dalam kejadian Rabu lalu, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy, 26, parah selepas tangan kanannya putus akibat ditetak suspek sebelum lelaki warga asing berkenaan ditembak mati polis.
Media sebelum ini melaporkan, suspek maut ditembak polis selepas sekali lagi menyerang anggota keselamatan menggunakan parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan tidak jauh dari pangsapuri berkenaan antara jam 7.30 hingga 8 malam.
Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri dan menahan suspek yang bertindak agresif.
Lelaki itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Shazeli dalam pada itu berkata, lebih 20 saksi sudah dirakam percakapan setakat ini, termasuk jiran, penduduk setempat dan kenalan suspek bagi membantu siasatan.
“Kami masih menyiasat tahap kesihatan mentalnya sama ada selari dengan dakwaan individu yang mengenalinya.
“Polis juga sedang mengesan beberapa lagi kenalan suspek bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, namun pas berkenaan serta pasportnya dipercayai sudah tamat tempoh sehingga menyebabkan lelaki itu tinggal lebih masa di negara ini.
Menurutnya, suspek menetap di pangsapuri berkenaan tetapi bukan penyewa berdaftar kerana unit kediaman itu disewa oleh rakannya yang juga warga tempatan.




