PRN Melaka: BN-PN dominasi persaingan, kuasai 24 daripada 28 kerusi – ILHAM Centre

FIRMA Penyelidikan ILHAM Centre merumuskan bahawa gelombang biru Barisan Nasional (BN)–Perikatan Nasional (PN) sedang mendominasi persaingan PRN Melaka dengan kelebihan yang ketara berbanding PH.

Menurut firma itu dalam laporan kajiannya, konsolidasi undi Melayu, moral jentera yang tinggi dan penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri menjadi tiga faktor utama yang mengukuhkan kedudukan gabungan tersebut.

‘’Unjuran ILHAM Centre meletakkan BN–PN di hadapan dalam 24 kerusi DUN, manakala PH berada pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Manakala dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang oleh PH iaitu Ayer Keroh dan Kesidang dikategorikan sebagai sengit,’’ kata firma tersebut.

Laporan kajian ILHAM Centre disediakan  oleh panel penyelidikan firman itu  yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik) dan Dr Abdul Muqit Muhammad (Felo Penyelidik).

Hisommudin Bakar
Pengarah Eksekutif Ilham Centre.

 Menurut firma penyelidikan itu,  kerjasama BN–PN di Melaka menyaksikan kegagalan model Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri apabila kesepakatan politik nasional antara BN dan PH tidak diterjemahkan dalam persaingan pilihan raya.

Sebaliknya, kata firma tersebut, BN memilih pendekatan yang lebih menguntungkan kedudukan politiknya melalui persefahaman dengan PN, khususnya PAS yang mempunyai pengaruh dalam segmen pengundi Melayu.

Kata firma itu, kesediaan PN berkompromi dengan BN ternyata membuahkan hasil apabila persaingan sesama parti Melayu dapat dikurangkan dan sokongan pengundi disatukan dalam satu jajaran politik.

‘’Kesepakatan ini memperlihatkan keberkesanan penyelarasan strategi yang membolehkan kedua-dua gabungan memanfaatkan kekuatan masing-masing tanpa perlu berdepan pertembungan yang merugikan.

‘’Dapatan lapangan menunjukkan perpindahan undi antara penyokong BN dan PN berlaku dengan sangat baik, sekali gus memperkukuh konsolidasi undi Melayu. Dapatan kami menunjukkan perpindahan undi pengundi PN kepada BN sebanyak 91 peratus manakala pengundi BN kepada PN sebanyak 78 peratus,’’ kata firman tersebut.

Keadaan ini kata ILHAM Centre menjadikan 23 kerusi DUN dengan komposisi pengundi Melayu sekurang-kurangnya 50 peratus sebagai jajaran yang semakin sukar ditembusi oleh PH.

‘’Kekuatan gabungan ini turut disokong oleh penguasaan jentera UMNO dan Pas yang mempunyai jaringan akar umbi tersusun sehingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM). Penggemblengan dua jentera tradisi yang berpengalaman memberikan kelebihan besar kepada BN–PN berbanding parti yang tidak memiliki struktur organisasi dan jaringan pengundi setempat yang setanding.

‘’Secara keseluruhannya, kerjasama BN–PN bukan sekadar persefahaman politik antara kepimpinan parti, sebaliknya telah diterjemahkan kepada penyatuan kekuatan organisasi dan keyakinan pengundi di lapangan. Perkembangan ini menjadikan gelombang biru semakin kukuh dan meletakkan PH dalam kedudukan defensif di kerusi-kerusi majoriti Melayu,’’ kata firma tersebut.

ILHAM Centre berkata, BN memasuki gelanggang PRN Melaka dengan moral jentera yang tinggi, didorong oleh keyakinan selepas kejayaan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan. Momentum kemenangan tersebut membentuk psikologi bahawa BN berada pada kedudukan dominan dan mempunyai keupayaan besar untuk mempertahankan penguasaannya di Melaka.

Kata firma itu, penyusunan strategi BN Melaka berjaya membentuk persepsi bahawa gabungan tersebut terlalu gagah untuk dikalahkan, sekali gus memberikan kelebihan psikologi kepada jentera dan penyokongnya.

‘’Persepsi kemenangan ini turut mempengaruhi suasana persaingan apabila kempen BN dilihat lebih tersusun, agresif dan mempunyai hala tuju yang jelas. Naratif BN-PN bersendikan politik identiti yang mudah difahami kepada psiki Melayu dengan tagline Asal Bukan PH begitu kuat dan rentas seluruh DUN.

‘’Pemerhatian di lapangan juga mendapati kebanyakan PDM yang ditandingi BN menunjukkan kemeriahan aktiviti jentera dan penyertaan penduduk setempat. Sebaliknya, PH dan parti pesaing lain kelihatan bermula lebih lewat dengan sebahagian besar usaha kempen masih tertumpu kepada memperkenalkan calon berbanding mengukuhkan strategi meraih sokongan pengundi,’’ kata ILHAM Centre.

Menurut ILHAM Centre, kekuatan tradisi PH sebenarnya terletak pada keupayaan menggerakkan isu rasuah, kesenjangan ekonomi dan skandal tadbir urus sebagai modal politik untuk mencabar kerajaan.

‘’Namun, isu-isu tersebut gagal disatukan menjadi naratif induk yang dominan, meyakinkan dan mampu membangkitkan gelombang penolakan terhadap BN. Ketiadaan naratif induk menyebabkan kempen PH bergerak secara terpisah mengikut calon dan kawasan tanpa mesej politik yang benar-benar mencengkam imaginasi pengundi.

Dalam keadaan BN menguasai momentum dan persepsi kemenangan, PH gagal membina alasan politik yang cukup kuat untuk mendorong pengundi melakukan perubahan,’’ kata firma tersebut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here