KERAJAAN masih menunggu laporan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berhubung gangguan perkhidmatan beberapa aplikasi Microsoft yang dipercayai memberi kesan besar di peringkat global.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan berhubung insiden itu belum dikumpulkan atau dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri setakat ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang menunggu maklumat daripada NACSA bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai skala gangguan yang difahamkan turut memberi kesan kepada pengguna di pelbagai negara.
“Setakat ini laporan belum dikumpulkan, belum dibentang, tidak dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Dan setakat pagi tadi saya menunggu pihak NACSA memberi pemakluman laporan mengenai insiden tersebut.
“Difahamkan ia adalah bersifat global, bukan sekadar di satu negara atau pun satu kawasan, tapi ini ada kesan yang besar. Saya akan minta dan nasihatkan NACSA untuk keluarkan kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Fahmi berkata, kerajaan juga belum menerima maklumat mengenai kementerian atau jabatan yang terjejas akibat gangguan berkenaan.
Terdahulu, NACSA memaklumkan gangguan perkhidmatan Microsoft membabitkan beberapa aplikasi termasuk Outlook, Teams, SharePoint, Microsoft 365 Copilot dan Defender XDR, yang berpotensi menjejaskan pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Berdasarkan maklumat semasa, gangguan itu lebih cenderung berpunca daripada masalah teknikal atau infrastruktur dan bukannya serangan siber.
Sehubungan itu, semua agensi kerajaan serta entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) disarankan menyemak status perkhidmatan masing-masing, memastikan pemantauan keselamatan siber tidak terganggu dan mengikuti perkembangan terkini daripada Microsoft.





