KES denggi di negara ini meningkat sebanyak 66 peratus kepada 65,979 kes setakat minggu epidemik ke-35 tahun ini, berbanding 39,616 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini menerima taklimat mengenai peningkatan kes dan kematian akibat denggi termasuk keperluan mempergiatkan usaha pencegahan terutama di kawasan berisiko.
“Hari ini Jemaah Menteri juga telah mendapat sedikit taklimat mengenai status masalah penyakit denggi yang setakat minggu epidemik ke-35 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus kes berbanding minggu epidemik ke-35 pada tahun 2025.
“Pada tahun lalu waktu sekarang sebanyak 39,616 kes telah direkodkan manakala pada tahun ini sebanyak 65,979 kes.
“Manakala kumulatif kematian bagi tahun 2025 hingga minggu epidemik ke-35 terdapat 32 kes dan bagi tahun 2026 tempoh masa yang sama terdapat 62 kes dan ini adalah peningkatan 93.8 peratus,” katanya dalam sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi memberitahu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan program gotong-royong besar-besaran dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi membantu menangani peningkatan kes denggi.
Beliau berkata, program pembiakan nyamuk Wolbachia turut dibincangkan, termasuk pencapaian dan kejayaannya di Putrajaya.
Justeru, katanya, terdapat keperluan meningkatkan usaha melaksanakan gotong-royong perdana, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah atau berlaku wabak.





