PM setuju penyelenggaraan saliran dipertingkat segera tangani banjir KL, Selangor – Fahmi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya kerja penyelenggaraan saliran di Kuala Lumpur dan Selangor dipertingkatkan serta dilaksanakan dengan lebih kerap sebagai langkah segera mengurangkan risiko banjir kilat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikan Anwar yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi); Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari); Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Fadlun Mak Ujud) serta beberapa pihak berkaitan.

Beliau berkata, mesyuarat itu meneliti pelbagai usaha dan inisiatif bagi menangani isu banjir yang membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk perkembangan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan.

“Dimaklumkan bahawa projek-projek tebatan banjir sudah disediakan peruntukan dan kerja-kerja sedang berjalan, tetapi ia mengambil masa untuk disiapkan.

“Jadi, sementara menunggu projek-projek itu selesai, Perdana Menteri bersetuju supaya tindakan segera melalui penyelenggaraan berkala yang lebih kerap dilaksanakan bermula sekarang,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, antara perkara yang diberikan perhatian adalah penyelarasan kerja penyelenggaraan saliran antara Kuala Lumpur dan Selangor, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas banjir dan banjir kilat.

Katanya, mesyuarat dimaklumkan kerja penyelenggaraan saliran di Kuala Lumpur dilaksanakan sebanyak enam kali setahun, manakala terdapat permintaan supaya penyelarasan turut dibuat di Selangor bagi meningkatkan kekerapan kerja berkenaan.

“Di Selangor, terdapat permintaan supaya penyelarasan dilakukan, termasuk melihat bentuk bantuan yang boleh disediakan bagi meningkatkan jumlah penyelenggaraan, terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas banjir dan banjir kilat,” katanya.

Beliau berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan langkah sementara dapat dilaksanakan segera sementara projek tebatan banjir yang sedang berjalan disiapkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here