JIM tumpaskan sindiket palsu ePASS tawar dokumen serendah RM50

JABATAN Imigresen Pulau Pinang menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pas elektronik (ePASS) yang menawarkan perkhidmatan itu dengan bayaran serendah RM50 menerusi penahanan dua lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Simpang Ampat, malam tadi.

Pengarah Imigresen negeri, Syamsul Fitry Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 32 tahun itu ditahan Bahagian Penguat Kuasa kira-kira jam 10 malam hasil aduan awam serta maklumat risikan berhubung kegiatan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah itu menemukan beberapa pasport warga asing serta sejumlah besar kepingan cetakan ePASS yang diubah suai dan dipercayai sedia untuk diedarkan.

“Semakan awal mendapati dokumen palsu berkenaan membabitkan pekerja asing dalam sektor pembinaan.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai menyasarkan warga asing, terutama warga Bangladesh dan Pakistan yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau tinggal lebih masa di negara ini, dengan mengenakan bayaran sekitar RM50 hingga RM100 bagi setiap keping cetakan ePASS palsu,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen negeri di Seberang Jaya, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayaran dikenakan mencecah ratusan hingga ribuan ringgit bergantung kepada urusan yang dibuat, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Mengulas modus operandi, Syamsul Fitry berkata, sindiket berkenaan menyunting dan mengubah suai maklumat pada salinan digital ePASS serta pasport menggunakan komputer riba sebelum mencetak dokumen terbabit.

Katanya, dokumen yang dihasilkan hampir menyerupai dokumen sebenar sehingga sukar dibezakan secara fizikal oleh orang awam.

“Jika dilihat secara biasa, dokumen itu kelihatan seperti sah kerana ePASS boleh dicetak. Namun, Imigresen membuat pengesahan menerusi kod QR dan semakan silang dalam sistem sebelum mengesan dokumen terbabit adalah palsu,” katanya.

Dalam operasi itu, pihaknya turut merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba dan mesin pencetak yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

Tiga kenderaan, masing-masing sebuah kereta dan dua motosikal, turut disita kerana dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Menurutnya, seorang suspek berusia 23 tahun memiliki pas sah dan bekerja dalam sektor pembinaan, manakala seorang lagi berusia 32 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

Katanya, kedua-dua suspek menyewa rumah berkenaan daripada seorang warga tempatan.

“Tempoh sebenar kegiatan ini dijalankan masih disiasat. Seorang suspek mendakwa baru berada di Malaysia sekitar tiga hingga empat bulan, manakala seorang lagi masih tidak memberikan maklumat lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56 dan 52D Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Pihaknya juga akan berhubung dengan Ibu Pejabat Imigresen bagi tindakan susulan, termasuk mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam sindiket itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here