Pengundi Melaka dinasihat keluar awal, elak kempen di media sosial selepas tengah malam – Fahmi

PENGUNDI yang akan menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok dinasihatkan keluar mengundi lebih awal berikutan jangkaan hujan, selain mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan pulang ke kawasan masing-masing.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mereka yang pulang ke kampung halaman untuk mengundi perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

“Para pengundi PRN Melaka dinasihatkan keluar awal kerana dijangkakan hujan.

“Bagi mereka yang akan balik ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Melaka, pandulah kenderaan dengan selamat, pastikan cukup rehat, kenderaan telah diselenggara dengan baik dan jangan memandu melebihi had laju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya.

Katanya, semua pihak perlu mematuhi arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menghentikan aktiviti berkempen pada jam 11.59 malam ini, termasuk menerusi platform media sosial.

“Peringatan daripada SPR untuk berhenti berkempen pada jam 11.59 malam ini harus dipatuhi dan tidak boleh ada lagi kempen, termasuk dalam media sosial. Tiada hantaran baharu di media sosial menjelang tengah malam ini.

“Saya sudah masukkan mesej awal supaya tidak ada pihak yang berkempen atau membuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen, termasuk dalam media sosial pada esok hari,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat berkaitan perjalanan pilihan raya daripada sumber rasmi SPR dan tidak mudah mempercayai kandungan yang kesahihannya diragui di media sosial.

Menurutnya, SPR mempunyai akaun media sosial rasmi termasuk Facebook, Threads dan X yang boleh dirujuk orang ramai bagi mendapatkan perkembangan serta maklumat tepat mengenai proses pilihan raya.

“Sebarang kenyataan mengenai perjalanan pilihan raya, rujuk dengan pihak SPR. Sila dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, media arus perdana dan bukan media yang `menjelma’ dalam media sosial.

“Kita dapati tidak mustahil ada pihak tertentu menghasilkan kandungan yang meragukan kesahihannya. Jadi, rujuk sumber rasmi. Selamat mengundi kepada para pengundi di Melaka,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here