KERAJAAN Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM3.3 bilion untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri bagi tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.9 bilion atau 57.6 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.4 bilion (42.4 peratus) bagi tujuan pembangunan.
“Demi menangani pelbagai cabaran semasa dengan lebih tangkas, pentadbiran ini mencadangkan Belanjawan Selangor 2027 dengan peruntukan sebanyak RM3.3 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, pada tahun depan kerajaan negeri turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip sebanyak RM2.85 bilion terdiri daripada premium tanah sebanyak RM1,112.85 juta bersamaan dengan 39 peratus daripada anggaran hasil.
Selain itu, katanya, cukai tanah diunjurkan menyumbang sebanyak RM653.82 juta bersamaan dengan 23 peratus daripada hasil keseluruhan, manakala pemberian Persekutuan sebanyak RM292.70 juta bersamaan dengan 10 peratus.
Mengenai kedudukan kewangan negeri, Amirudin berkata, rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor merekodkan RM4.736 bilion setakat 31 Disember 2025, merangkumi Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.
Beliau berkata, kedudukan rizab negeri terus meningkat sebanyak RM384.84 juta kepada RM5.121 bilion setakat 11 November 2026, terdiri daripada RM1.713 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan dan RM3.408 bilion dalam Akaun Amanah Disatukan.
“Dengan sentiasa mengamalkan pendekatan perbelanjaan yang berhemah, prestasi kewangan kerajaan negeri sehingga 11 November 2026 mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM422.40 Juta,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kutipan hasil negeri bagi 2026 telah melepasi sasaran yang ditetapkan apabila merekodkan RM2.957 bilion setakat 11 November lepas.
“Daripada jumlah itu, hasil cukai menyumbang RM767.30 juta, manakala hasil bukan cukai berjumlah RM1.912 bilion dan terimaan bukan hasil sebanyak RM277.34 juta,” katanya.
Belanjawan yang bertemakan Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni itu akan digerakkan melalui lima tonggak iaitu Ketangkasan Menangani Perubahan Iklim dan Merekayasa Pembangunan Prasarana; Memartabat Kesejahteraan Rakyat; Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Negeri Selangor; Memperkasa Pendidikan Sepanjang Hayat, Membina Generasi Progresif dan Pemantapan Khidmat Rakyat.





