BEKAS Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Besar meninggal dunia.
Berita pemergian Allahyarham itu dikongsikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Shahidan menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau amat berdukacita menerima berita pemergian Allahyarham yang disifatkannya sebagai seorang sahabat.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya amat berdukacita menerima berita pemergian sahabat saya ini.
“Buat seluruh ahli keluarga, semoga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Allahyarham yang berusia 65 tahun pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14.
Allahyarham pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dari 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dari 2015 hingga 2018.
Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri selama tiga penggal dari 1999 hingga 2008 serta menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis.
Difahamkan, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas, Pulau Pinang selepas solat Isyak malam ini.





