MAYAT lelaki warga India ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di di Sungai Pertak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu Isnin lalu, petang ini.
Penemuan itu menjadikan tujuh daripada lapan mangsa tragedi berkenaan berjaya ditemukan manakala seorang lagi masih hilang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mayat mangsa ketujuh itu ditemukan jam 3.40 petang tadi di kawasan pencarian Sektor C.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Rasa pada jam 4.45 petang.
“Mangsa dikenal pasti sebagai lelaki dewasa warga India, namun usianya belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis pada jam 4.59 petang sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
Katanya, operasi SAR diteruskan di Sektor C dan D bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.
Untuk rekod, Sektor C merangkumi kawasan pencarian dari Jambatan Pertak hingga Empangan Sungai Selangor, manakala Sektor D membabitkan kawasan empangan berkenaan.
Dalam kejadian jam 5.30 petang Isnin lalu, lapan lelaki termasuk seorang rakyat Malaysia dan tujuh warga asing dihanyutkan arus deras susulan fenomena kepala air di Sungai Luit.
Lima mangsa ditemukan pada Selasa lalu, manakala mayat keenam, seorang lelaki warga Yemen, ditemukan berhampiran Empangan Sungai Selangor pada jam 10.15 pagi semalam.
Penemuan seorang lagi mayat warga India petang ini menjadikan tujuh mangsa ditemukan dengan operasi SAR kini tertumpu kepada seorang lagi lelaki warga India yang masih hilang.





