SEORANG wanita ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh di Kota Tinggi petang ini selepas dilaporkan hilang sejak semalam.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 3.45 petang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita berkenaan pada jam 5.36 petang semalam sebelum satu kertas siasatan orang hilang dibuka.

Menurutnya, mangsa kali terakhir dikesan berada di sekitar bandar Kota Tinggi.
“Bertindak atas laporan diterima, satu kertas siasatan orang hilang dibuka dan sepasukan pegawai polis diketuai Ketua Polis Balai Kota Tinggi digerakkan bagi mengesan keberadaan mangsa.
“Pada jam 3.45 petang ini, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, pemeriksaan oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Kota Tinggi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Katanya, waris mangsa yang dipanggil ke lokasi untuk pengecaman awal turut mengesahkan identiti mayat berkenaan sebagai ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.
Dalam pada itu, Yusof merakamkan penghargaan kepada Persatuan Nelayan Kecil Kampung Makam, Kota Tinggi atas kerjasama membantu operasi SAR berkenaan.





