Patah empat jari kemalangan motosikal, anak Sanusi mungkin tidak dapat duduki SPM

ANAK perempuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengalami kecederaan di muka dan kepala termasuk patah empat jari serta tulang rusuk selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam longkang berhampiran Kampung Alor Setol, di Alor Setar petang semalam.

Mangsa yang berusia 20 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi membolehkan pemantauan rapi dan pemeriksaan lanjut dilakukan.

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Muhammad Sanusi berkata, anak ketiganya itu masih ditempatkan di ICU sementara doktor memantau keadaannya serta mengesan kemungkinan kecederaan dalaman.

“Anak saya masih dirawat di ICU, doktor maklumkan perlu membuat pemantauan rapi terlebih dahulu.

“Esok mungkin boleh tukar ke wad biasa selepas pemeriksaan jika keadaannya lebih baik,” katanya di Alor Setar hari ini, lapor BH.

GAMBAR tular motosikal jenis Yamaha X-Max 250 ditunggangi anak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang terbabit kemalangan di Kampung Alor Setol, di Alor Setar petang semalam

Beliau berkata, anaknya yang juga pelajar tahfiz sedang mengikuti program pembelajaran ‘fast track’ bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), Pokok Sena.

Bagaimanapun, kecederaan pada tangan kanan mungkin menyebabkan anaknya tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang dijadualkan bermula 23 November ini.

“Sepatutnya dia akan duduki SPM… nampaknya mungkin dia tak dapat teruskan sebab tangan kanannya cedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha X-Max 250 dari arah kolejnya di Pokok Sena menghala ke Alor Setar.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum terbabas ke dalam longkang.

“Sejurus kejadian, mangsa dibantu orang awam dan pasukan perubatan sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Syed Basri berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here