Fahmi zahir ucapan takziah atas pemergian Zahidi Zainul Abidin

MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat handai bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata, beliau berdukacita menerima berita pemergian Allahyarham yang pernah berkhidmat dalam kementerian berkenaan selain menjadi Ahli Parlimen Padang Besar.

“Bagi pihak seluruh warga Kementerian Komunikasi, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham,” katanya dalam hantaran itu.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional  dan Barisan Nasional pada 2020 hingga 2022.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14.

Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri selama tiga penggal serta memegang jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dari 2015 hingga 2018.

Fahmi turut berharap seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham diberikan kekuatan, kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan itu.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here