JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang guru menampar dan mencubit sehingga lebam seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Kubang Semang, Bukit Mertajam.
Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihak PPD turut mengadakan pertemuan dengan pelajar berkenaan serta keluarganya petang tadi bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Menurutnya, JPN Pulau Pinang akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang terbabit dalam siasatan kes itu.
“Pihak PPD sudah diarah menjalankan siasatan dan menyediakan syor tindakan serta penyelesaian lanjut.
“Fokus JPN Pulau Pinang ialah memberi khidmat bimbingan sosio emosi kepada pelajar berkenaan dalam persediaan bagi menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dalam kalangan kakitangan jabatan itu.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menyokong usaha mewujudkan ekosistem yang selamat kepada pelajar dan guru, terutama ketika mereka berada dalam fasa persediaan akhir menghadapi SPM 2026.
Sebelum ini, tular hantaran seorang wanita di platform Threads yang mendakwa anak perempuannya ditampar berkali-kali, dicubit sehingga lebam serta dihina oleh guru berkenaan kerana tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek Prinsip Perakaunan.
Wanita itu turut mendakwa kejadian berkenaan menyebabkan anaknya hilang keyakinan diri dan takut untuk ke sekolah, malah menyatakan tidak mahu menduduki SPM yang dijadualkan bermula minggu hadapan.
Hantaran berkenaan turut ditandakan kepada akaun Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek bagi memohon perhatian terhadap aduan itu.
Dalam perkembangan terbaharu, wanita berkenaan memaklumkan menerusi hantaran di media sosial bahawa kes anaknya sudah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, anaknya dibenarkan menduduki SPM di lokasi lain bagi memastikan peperiksaan dapat dijalani dalam keadaan lebih selamat dan selesa.
“Bagi perkembangan terkini, anak saya dibenar menduduki SPM di lokasi lain bagi memastikan dia dapat jalani peperiksaan dalam keadaan lebih selamat dan selesa.
“Kami sekeluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan, pihak KPM, JPN Pulau Pinang serta semua pihak yang membantu, berkongsi dan menyuarakan sokongan.
“Buat masa ini, keutamaan kami adalah memastikan anak saya dapat menduduki SPM dengan tenang,” katanya.





