![]()
ISU membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan faktor baharu yang boleh dijadikan modal kempen untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, isu berkenaan sudah beberapa kali dibangkitkan pihak lawan dalam pilihan raya negeri terdahulu, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri itu wajar dijadikan ukuran bagi menilai sejauh mana isu berkenaan mempengaruhi kecenderungan pengundi.
“Jika mereka beranggapan bahawa Najib merupakan faktor utama yang akan membantu mereka memenangi pilihan raya ini, saya hanya ingin mengingatkan bahawa isu ini sudah dibangkitkan sejak PRN Johor, Negeri Sembilan dan kini di Melaka.
“Kita juga sudah mengetahui keputusan pilihan raya sebelum ini. Jadi, kita berharap keputusan yang sama seperti di Johor dan Negeri Sembilan akan berulang di Melaka kali ini,” katanya selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Merlimau, Jasin hari ini.
Muhamad Akmal tiba di pusat mengundi kira-kira jam 8.40 pagi dan selesai membuang undi kira-kira 10 minit kemudian.
Isu Najib kembali menjadi perhatian menjelang hari pengundian PRN Melaka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd di bawah perintah tahanan rumah. Perintah berkenaan berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, Najib tertakluk kepada beberapa sekatan termasuk larangan membuat kenyataan atau ulasan kepada media, menggunakan platform media sosial, menghadiri majlis keramaian serta terbabit dalam aktiviti politik sepanjang tempoh berkenaan.





