KDN hanya laksana keputusan Lembaga Pengampunan, bukan pertimbang – Saifuddin

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hanya bertindak sebagai agensi pelaksana terhadap sebarang keputusan yang dimuktamadkan oleh Lembaga Pengampunan berhubung status hukuman seseorang banduan, termasuk pelaksanaan kaedah tahanan di rumah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya tidak berada pada kedudukan untuk mengulas lanjut, mengenai gesaan pelbagai pihak mengenai kelayakan tahanan rumah, kerana pertimbangan petisyen pengampunan di luar bidang kuasa KDN.

“Jadi, sama ada petisyen pengampunan itu dibincangkan, dipertimbangkan dan dibuat keputusan atau tidak, itu bukan dalam bidang tanggungjawab KDN.

“Tetapi kalau ada keputusan dibuat, tugas kami ialah melaksanakannya. Sama ada hukumannya dikurangkan, dibatalkan, dibebaskan atau diletakkan di rumah, kerja kami ialah melaksanakannya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program MADANI Kita serta Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026, di Kampung Sungai Tiram dekat Lumut hari ini, lapor Bernama.

Saifuddin Nasution mengulas laporan media berkaitan kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini, bahawa kemudahan tahanan rumah tidak seharusnya menjadi keistimewaan golongan tertentu, sebaliknya perlu dipertimbangkan secara saksama kepada semua banduan yang layak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lepas membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 73, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di ibu negara berkuat kuasa serta-merta hingga 23 Ogos 2028.

Mengulas lanjut daripada sudut perundangan, Saifuddin Nasution berkata, hak untuk mengemukakan petisyen pengampunan sentiasa terbuka kepada mana-mana individu, tanpa mengira status atau latar belakang sebaik sahaja selesai melalui semua proses kehakiman di mahkamah.

Beliau berkata, petisyen yang dikemukakan banduan ketika menjalani hukuman, akan diangkat untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan pada peringkat Persekutuan, mahupun di hadapan Raja atau Sultan yang memerintah peringkat negeri masing-masing.

“Kalau ada pandangan yang mengatakan bahawa sepatutnya semua diberikan layanan yang sama, dari sudut undang-undang, hak itu sudah pun ada.

“Seperti yang saya katakan tadi, bahagian pertama, siapa sahaja boleh memohon. Sama ada petisyennya dilayan atau tidak, itu perkara lain,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here