PENGARAH Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari perlu tampil memberikan penjelasan berhubung faktor yang menyebabkan gabungan itu mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, PH hanya memenangi empat daripada 24 kerusi yang ditandingi berbanding lima kerusi pada PRN 2021.

Malah, katanya, kekalahan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil memperlihatkan betapa seriusnya kemerosotan kedudukan politik gabungan itu.
Beliau berkata, sebagai individu yang mengetuai gerakan pilihan raya PH, Amirudin mempunyai tanggungjawab politik untuk menjelaskan keberkesanan strategi kempen, pemilihan calon, penyelarasan jentera serta kegagalan PH menarik sokongan pengundi, khususnya masyarakat Melayu.
“PH perlu melakukan post-mortem secara menyeluruh dan menyusun semula gerakan pilihan rayanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Apabila seseorang diberikan mandat mengetuai gerakan pilihan raya, beliau juga perlu bersedia memikul tanggungjawab apabila keputusan tidak memihak kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan penyokong-penyokong PH yang mengecam beberapa pemimpin pakatan itu termasuk Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil selepas PH tewas di PRN Melaka semalam. Sebelum PH juga tewas di Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Dr Mohammad Tawfik berpandangan penyokong PH tidak seharusnya menjadikan Fahmi sebagai kambing hitam atas kekalahan gabungan itu di Melaka.
Katanya, terdapat perbezaan antara tanggungjawab sebagai Pengarah Komunikasi PH dengan Pengarah Pilihan Raya PH yang diberikan mandat merancang dan menyelaras strategi pilihan raya.
“Individu yang sewajarnya tampil terlebih dahulu memberikan penjelasan ialah Amirudin. Malah, tidak adil sekiranya Fahmi dipersalahkan atas keputusan strategik yang bukan berada di bawah tanggungjawab utamanya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan itu tidak bermakna keseluruhan kepimpinan PH terlepas daripada tanggungjawab kolektif kerana keputusan besar turut membabitkan Majlis Presiden PH.
Dr Mohammad Tawfik berkata, PH perlu menghentikan budaya mencari kambing hitam dan sebaliknya membina budaya akauntabiliti dalam kepimpinan.
Katanya, sekiranya Amirudin diberikan kepercayaan mengetuai jentera ketika berdepan pilihan raya, beliau juga perlu berada di barisan hadapan untuk menjelaskan kekalahan, mengenal pasti kelemahan dan mengemukakan pelan pemulihan.
“Jika kelemahan kepimpinan pilihan raya dikenal pasti, PH tidak seharusnya teragak-agak melakukan rombakan demi memastikan gabungan itu lebih bersedia menghadapi PRU16,” katanya.





