PAKATAN Harapan (PH) akan menilai kelemahan jentera pilihan raya dan tahap kesiapsiagaan calon susulan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, semalam.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penilaian itu akan menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan gabungan berkenaan yang dijadualkan berlangsung minggu ini.
Menurutnya, PH perlu mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya itu, selain mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan menjelang pilihan raya akan datang.
“Kita mengambil iktibar, bermuhasabah atas apa yang berlaku. Pihak parti akan melakukan pascanilai (post-mortem) untuk mengenal pasti apa aspek yang perlu kita rombak.
“Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), jentera di kawasan bandar lazimnya lebih kukuh dan bersedia. Namun, bagi kerusi-kerusi tertentu, wujud isu melibatkan kekuatan jentera serta tahap kesiapsiagaan calon dalam mendepani dan melaksanakan kempen. Justeru, terdapat beberapa perkara yang akan kita teliti semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Razak Mansion, di Kuala Lumpur, hari ini.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, parti itu turut memberi perhatian terhadap pola pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi muda.
Katanya, kadar keluar mengundi yang lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu juga menjadi antara aspek yang perlu diteliti.
“Kita juga sedang meneliti beberapa aspek termasuk pola pengundian anak muda, selain mengambil iktibar daripada kadar keluar mengundi yang rendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kejayaan DAP mempertahankan semua kerusi yang ditandinginya sebagai perkembangan positif buat PH.
Pada PRN Melaka ke-16, PH hanya memenangi empat daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Barisan Nasional (BN) muncul parti dengan kerusi terbanyak selepas memenangi 21 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi.





