Lima rakyat Malaysia ditahan, 240kg syabu dirampas di Thailand

CUBAAN menyeludup 240 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM28.9 juta ke Malaysia digagalkan pihak berkuasa Thailand menerusi beberapa operasi di Bangkok dan wilayah Prachuap Khiri Khan, minggu lalu.

Operasi berkenaan membawa kepada penahanan lima lelaki warga Malaysia serta beberapa individu warga Thailand yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan.

Jurucakap keselamatan Thailand berkata, siasatan bermula selepas seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai menjadi dalang sindiket ditahan di wilayah Nonthaburi pada 30 Oktober lalu.

Menurutnya, dua wanita warga Thailand berusia 24 dan 25 tahun turut ditahan dalam operasi di Prachuap Khiri Khan, Khamis lalu.

Beliau berkata, pihak berkuasa kemudian mengesan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang bergerak ke selatan Thailand melalui Jalan Rama 2 sebelum memintas kedua-duanya di daerah Sam Roi Yot dan Pranburi, kira-kira jam 9 pagi.

“Dua lelaki warga Malaysia berusia 28 dan 40 tahun yang menaiki MPV pertama ditahan, manakala seorang lagi lelaki warga Malaysia berusia 28 tahun bersama seorang wanita warga Thailand turut diberkas dalam kenderaan kedua.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan itu menemukan 240kg syabu yang disembunyikan dalam ruang khas diubah suai menyerupai sistem audio,” katanya, lapor Buletin TV3.

Dadah berkenaan dibungkus menggunakan uncang teh Cina sebelum disorokkan di dalam ruang simpanan yang diubah suai pada kedua-dua kenderaan.

Jurucakap itu berkata, operasi susulan di Bangkok, Jumaat lalu, membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga Malaysia berusia 40 tahun serta seorang wanita warga Thailand berusia 25 tahun.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi dari Malaysia dengan menggunakan Thailand sebagai laluan transit untuk membawa dadah dari bahagian tengah negara itu ke wilayah Songkhla sebelum diseludup merentasi sempadan Malaysia-Thailand.

“Siasatan mendapati suspek diupah ketua sindiket warga Malaysia untuk membawa syabu dari tengah Thailand ke Songkhla.

“Mereka turut mengaku pernah membawa dadah sebanyak dua hingga tiga kali sebelum ini dengan menerima upah antara 500,000 baht (RM60,300) hingga satu juta baht (RM120,600) bagi setiap perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai sehingga 240 juta baht atau RM28.9 juta sekiranya berjaya diseludup keluar dari Thailand.

Sindiket itu dipercayai menggunakan aplikasi WeChat dan Telegram untuk berkomunikasi, manakala bayaran dibuat dalam mata wang ringgit.

Satu dana khas juga dipercayai diwujudkan bagi membiayai operasi sindiket berkenaan di Thailand.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here