Amirudin perlu jelaskan kegagalan strategi PH di tiga negeri – penganalisis

DATUK Seri Amirudin Shari perlu tampil memberikan penjelasan berhubung kegagalan strategi Pakatan Harapan (PH) mencapai keputusan lebih baik dalam tiga pilihan raya negeri (PRN), khususnya selepas gabungan itu hanya memenangi empat daripada 28 kerusi ditandingi di Melaka.

Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, sebagai Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin perlu bertanggungjawab menjelaskan kelemahan strategi dan pendekatan kempen yang digunakan gabungan itu.

DR Abdul Aziz Azizam

Menurutnya, kenyataan Amirudin yang mendakwa berlaku peningkatan sokongan terhadap PH, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan golongan muda, meskipun keputusan di Melaka tidak memihak kepada gabungan itu, merupakan tafsiran yang agak longgar terhadap keputusan pilihan raya.

Beliau berkata, dakwaan peningkatan sokongan itu perlu disertakan penjelasan mengenai sejauh mana pertambahan undi berkenaan berlaku dan bagaimana ia diterjemahkan kepada kemenangan kerusi.

“Dalam sistem pilihan raya First-Past-The-Post, peningkatan undi semata-mata tidak mencukupi. Apa yang lebih penting adalah keupayaan parti menukar sokongan pengundi kepada kemenangan di kawasan yang ditandingi,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpandangan PH tidak seharusnya menggunakan alasan peningkatan sokongan untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan lebih besar mengenai kemerosotan prestasi gabungan berkenaan.

Antara perkara yang perlu dijelaskan termasuk faktor kegagalan PKR dan Amanah memenangi sebarang kerusi di Melaka, selain punca PH hanya mampu mempertahankan empat kerusi yang dimenanginya sebelum ini.

Katanya, PH perlu mengenal pasti sama ada kelemahan itu berpunca daripada pemilihan calon, kekuatan jentera pilihan raya, mesej kempen, penerimaan pengundi atau tahap kepercayaan terhadap kepimpinan gabungan berkenaan.

Beliau berkata, penilaian juga perlu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira corak prestasi PH dalam tiga pilihan raya negeri, bukannya melihat keputusan di Melaka sebagai kes terpencil.

“Jika terdapat trend kehilangan pengaruh atau kegagalan menambah kerusi, ia memerlukan penilaian semula terhadap strategi, kepimpinan dan pendekatan komunikasi politik parti.

“Peningkatan sokongan tidak boleh dijadikan pengganti kepada kemenangan, dan penjelasan terhadap kekalahan tidak boleh mengelakkan tanggungjawab kepimpinan,” katanya.

Tambah beliau, PH juga perlu menilai mengapa gabungan itu semakin memerlukan kerjasama dengan parti lain untuk memastikan kemenangan, walaupun peningkatan sokongan pengundi didakwa berlaku.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here