POLIS sedang menyiasat insiden sebuah kapal besar dipercayai merempuh kawasan tebing berhampiran laluan pejalan kaki di Esplanade Wing, Lumut, yang tular di media sosial pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Bernama, namun memaklumkan siasatan masih dijalankan.
Insiden berkenaan mendapat perhatian selepas rakaman video memaparkan pergerakan kapal itu terlalu hampir dengan kawasan daratan sehingga menyebabkan sebahagian struktur tebing rosak dan pecah, tersebar di platform Threads.
Seorang pengguna Threads, @mashitahbtbasir mendakwa berada di kawasan berkenaan sebelum kejadian dan melihat kapal itu tiba-tiba bergerak laju tanpa berhenti sebelum berlaku pelanggaran.
Pengguna itu turut berkongsi keadaan ketika insiden berlaku menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform berkenaan.
Beberapa pengguna Threads lain termasuk @zhoushieng_aman dan irra.izzurin turut memuat naik video serta gambar berkaitan kejadian itu.





