KEGAGALAN Perikatan Nasional (PN) menembusi kubu kuat DAP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh dan Kesidang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu menunjukkan penyatuan undi Melayu menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) masih belum mampu diterjemahkan kepada penerimaan lebih meluas dalam kalangan pengundi pelbagai kaum.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, PN masih berdepan cabaran membina keyakinan pengundi bukan Melayu yang sekian lama memberikan sokongan kepada DAP, meskipun gabungan itu mempertaruhkan calon daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Katanya, DAP masih mempunyai akar sokongan kukuh dalam kalangan pengundi bandar, khususnya masyarakat bukan Melayu, selain dibantu pengaruh penyandang dan jaringan perkhidmatan di kawasan berkenaan.
“Kesetiaan pengundi terhadap DAP tidak semestinya bermaksud mereka berpuas hati sepenuhnya dengan Pakatan Harapan (PH), tetapi mereka masih belum melihat PN sebagai alternatif yang lebih meyakinkan,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Menurutnya, PN turut berdepan kekangan dari segi penjenamaan politik yang lebih inklusif apabila gabungan itu masih dikaitkan rapat dengan identiti politik Pas.
Keadaan itu, katanya, menimbulkan cabaran untuk mendapatkan kepercayaan pengundi di kawasan masyarakat majmuk yang turut mengambil kira aspek kesederhanaan, kepelbagaian budaya dan keterangkuman.
“Sebahagian pengundi mungkin memberikan keutamaan kepada kesederhanaan, kepelbagaian budaya serta keyakinan bahawa kepentingan semua komuniti dapat diwakili secara seimbang,” katanya.
Beliau berkata, pemindahan undi antara BN dan PN juga tidak berlaku secara seragam mengikut kawasan serta komposisi etnik, menyebabkan kekuatan kedua-dua parti dalam menggembleng sokongan Melayu belum mampu mengubah kecenderungan pengundi bukan Melayu yang sekian lama menyokong DAP.
Malah, katanya, PN masih belum berjaya menawarkan naratif perubahan yang cukup meyakinkan kepada pengundi bandar.
Sebagai contoh, calon Gerakan di Ayer Keroh memperoleh 6,813 undi berbanding 12,427 undi yang diraih calon DAP berdasarkan satu laporan keputusan tidak rasmi.
“Perbezaan undi itu memperlihatkan cabaran besar yang perlu dihadapi PN untuk membina keyakinan politik di luar pangkalan sokongan tradisionalnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, keputusan PRN Melaka memperlihatkan dua realiti politik berbeza apabila kerjasama BN-PN berkesan menyatukan sokongan di kawasan majoriti Melayu, namun masih belum mampu mengubah kecenderungan pengundi di kubu kuat DAP.
Jelasnya, kejayaan jangka panjang PN bukan hanya bergantung kepada penyatuan undi Melayu, sebaliknya turut ditentukan keupayaan gabungan itu memperluas penerimaan dan kepercayaan masyarakat majmuk.
Dalam konteks itu, katanya, BN mempunyai kelebihan strategik menerusi pengalaman pemerintahan, jaringan pelbagai kaum serta kedudukan UMNO, MCA dan MIC yang boleh menjadi asas lebih luas untuk membina kerjasama politik merentas komuniti.
Bagaimanapun, katanya, Pas juga tidak seharusnya menganggap kemenangan di dua kerusi pada PRN Melaka sebagai petunjuk bahawa kekuatan organisasinya sahaja sudah mencukupi untuk mempertahankan atau memenangi kerusi sama tanpa sokongan BN.
Kemenangan Pas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dan Paya Rumput pada PRN Melaka Sabtu lalu membuktikan kerjasama strategik dengan BN turut memberikan kelebihan kepada gabungan itu, khususnya dalam usaha mengukuhkan sokongan di kawasan majoriti Melayu.
Awang Azman berkata, kejayaan Pas memenangi kedua-dua kerusi yang ditandingi itu bukan semata-mata bersandarkan kekuatan jentera parti berkenaan, sebaliknya turut dipengaruhi sokongan dan pemindahan undi penyokong BN.
Menurutnya, Pas mempunyai kelebihan dari segi jaringan organisasi, disiplin ahli serta sokongan pengundi teras, manakala BN pula menyumbang pengaruh tradisional, pengalaman pentadbiran dan kekuatan jentera tempatan yang lebih meluas.
“Kemenangan ini merupakan hasil sinergi antara kekuatan akar umbi Pas dengan pemindahan undi penyokong BN, bukannya kejayaan Pas secara bersendirian.
“Atas semangat muafakat politik, sebahagian penyokong BN bersedia memberikan undi kepada PN sekali gus membolehkan kerjasama kedua-dua gabungan itu menghasilkan keputusan positif,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu turut membuktikan kerjasama UMNO dan Pas berupaya memberikan pulangan pilihan raya lebih besar berbanding kedua-dua parti bersaing sesama sendiri.





