
KENYATAAN Datuk Seri Amirudin Shari mengenai keperluan Pakatan Harapan (PH) merangka penjajaran politik baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang menimbulkan persoalan kerana sebagai Pengarah Pilihan Raya PH, ramai ingin mengetahui apakah punca gabungan itu tewas pula di Melaka selepas di Johor dan Negeri Sembilan.
Persoalannya, adakah kekalahan PH di Melaka benar-benar berpunca daripada kegagalan membentuk kesepakatan politik yang lebih luas, atau terdapat kelemahan dalaman parti yang perlu diakui dan diperbetulkan terlebih dahulu?
Sebagai individu yang diberikan tanggungjawab mengemudi strategi pilihan raya PH, Amirudin sepatutnya tampil dengan penilaian lebih menyeluruh terhadap keputusan PRN Melaka, bukannya terlalu awal mengalihkan perhatian kepada kemungkinan penjajaran politik baharu.
Hakikatnya, PH hanya menang daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, berbanding lima kerusi pada PRN 2021. Sementara itu, BN memperoleh 21 kerusi dan PN tiga kerusi.
Angka berkenaan memperlihatkan bahawa PH berdepan persoalan yang bukan sekadar berkaitan dengan kerjasama politik, tetapi juga keupayaan mempertahankan sokongan pengundi, keberkesanan jentera pilihan raya, pemilihan calon serta penerimaan rakyat terhadap kepemimpinan dan mesej politik parti.
Lebih penting, kenyataan Amirudin yang menyebut terdapat peningkatan undi Melayu terhadap PH perlu diperincikan dengan data yang boleh dinilai secara objektif. Peningkatan jumlah undi yang diterima seseorang calon tidak semestinya membuktikan peningkatan sokongan daripada kelompok pengundi Melayu, apatah lagi tanpa pecahan undi mengikut kaum.
Contohnya, beliau membangkitkan pencapaian Adly Zahari di DUN Bukit Katil yang meningkat daripada 6,805 undi pada 2021 kepada 8,698 undi pada 2026, meskipun tewas. Namun, angka itu hanya menunjukkan pertambahan jumlah undi calon dan tidak boleh secara automatik dijadikan bukti bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap PH semakin meningkat.
Analisis pilihan raya sepatutnya berpandukan keseluruhan keputusan, perubahan undi di setiap kawasan, majoriti kemenangan, kadar keluar mengundi serta pola sokongan pengundi, bukan hanya mengambil beberapa petunjuk positif untuk menggambarkan perkembangan parti.
Selain itu, cadangan membentuk penjajaran politik baharu juga menimbulkan persoalan sama ada PH sudah melakukan penilaian mendalam terhadap keberkesanan kerjasama sedia ada.
Jika masalah utama ialah kelemahan strategi, kegagalan menggerakkan jentera atau mesej parti yang tidak sampai kepada pengundi, perubahan penjajaran politik semata-mata belum tentu menyelesaikan persoalan tersebut.
Sebagai Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin perlu menjelaskan apakah kesilapan utama PH sehingga hanya mampu memenangi empat daripada 24 kerusi yang ditandingi? Mengapa gerak kerja parti masih belum mampu menghasilkan sokongan lebih besar walaupun PH mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Persekutuan?, Apakah bukti dan data yang menyokong dakwaan bahawa undi Melayu kepada PH meningkat, dan di kawasan mana peningkatan itu paling ketara? Adakah strategi meletakkan calon di 24 kerusi benar-benar mengambil kira kekuatan tempatan, penerimaan calon serta kehendak pengundi?
Apakah bentuk pertanggungjawaban yang perlu dilakukan oleh pasukan yang merangka dan melaksanakan strategi pilihan raya PH selepas keputusan yang mengecewakan itu? Persoalan ini dibangkitkan bukan mahu meletakkan pencapaian buruk PH di bahu beliau semata-mata tetapi wajar dibentangkan oleh beliau dalam tempoh terdekat.
Ia memandangkan persoalan ini penting kerana PH bukan sebuah gabungan politik baharu yang masih mencari identiti. Gabungan itu sudah mempunyai pengalaman bertanding, membentuk kerajaan negeri dan mentadbir kerajaan Persekutuan. Justeru, pengundi berhak mengetahui mengapa pengalaman tersebut masih belum diterjemahkan kepada pencapaian lebih baik di Melaka.
Pilihan raya bukan sekadar soal membina persepsi bahawa sokongan sedang meningkat, tetapi bagaimana parti membuktikan bahawa strategi yang dilaksanakan benar-benar mendapat kepercayaan rakyat.
Kesimpulannya, penjajaran politik baharu mungkin menjadi salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan PH, tetapi ia tidak boleh dijadikan jawapan utama kepada kegagalan pilihan raya tanpa terlebih dahulu mengenal pasti kelemahan sendiri.
Sebagai Pengarah Pilihan Raya, beliau bukan sekadar bertanggungjawab merangka strategi untuk pilihan raya akan datang, malah perlu memberikan penjelasan terhadap strategi yang telah menghasilkan keputusan kali ini terlebih dahulu.





