Pemangku Raja Terengganu berangkat ke SPRM, tinjau fasiliti operasi

PEMANGKU Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat ke Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bagi menghadiri Bengkel Pemantapan Penyiasatan dan Pendakwaan Jenayah Syariah Negeri Terengganu Tahun 2026.

Keberangkatan baginda disambut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman serta beberapa pegawai kanan daripada agensi berkaitan, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT).

GAMBAR: SPRM

Program berkenaan turut disertai Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Nara Setia dan Ketua Hakim Syarie Terengganu selain wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Bengkel itu diteruskan dengan pembentangan taklimat oleh tiga agensi utama, iaitu MAIDAM, JPSNT dan SPRM Terengganu yang menyentuh peranan serta tanggungjawab masing-masing dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berkaitan jenayah syariah.

Pengarah SPRM Terengganu, P/KPKPj Mohd Nor Adha Ab Gani dalam taklimatnya menjelaskan fungsi dan tanggungjawab suruhanjaya itu, khususnya berkaitan aspek pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang rasuah.

Beliau turut menyatakan kesediaan SPRM Terengganu untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi berkaitan bagi memastikan usaha membanteras rasuah dapat dilaksanakan secara bersepadu.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada SPRM untuk bersama-sama menjayakan kerjasama berkenaan.

Selesai sesi taklimat, baginda turut berkenan melawat Galeria SPRM Terengganu sebelum dibawa meninjau beberapa kemudahan operasi agensi itu.

Antara fasiliti yang dilawati adalah Bilik VIR, Bilik Alat Bantuan Teknikal, Bilik Kawad Cam serta lokap lelaki dan wanita.

Lawatan berkenaan memberi pendedahan kepada baginda mengenai kemudahan dan fungsi operasi SPRM, termasuk pelaksanaan tanggungjawab agensi itu dalam aspek pencegahan rasuah serta penguatkuasaan undang-undang.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk M Rozi Bidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Datuk Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan; Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin serta Pengarah Bahagian Komunikasi dan Strategik, KPKPj Hisyam Mohd Yusoff.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here