Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ahli ITU

MALAYSIA berjaya mengekalkan Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal kedua berturut-turut untuk tempoh 2027-2030, susulan pemilihan semula negara pada Persidangan Plenipotensi ITU 2026 (PP-26) di Doha, Qatar.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu mencerminkan keyakinan berterusan Negara-Negara Anggota ITU terhadap sumbangan Malaysia serta peranan negara yang semakin diiktiraf dalam pembangunan digital di peringkat antarabangsa.

”Sebagai salah satu daripada 48 negara yang dipilih menganggotai Majlis ITU, Malaysia akan terus memainkan peranan dalam membentuk hala tuju strategik dan keputusan utama agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang telekomunikasi dan teknologi digital,” kata kenyataan itu.

Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Negara-Negara Anggota ITU atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Malaysia.

”Sepanjang penggal 2023-2026 sebagai Ahli Majlis ITU, Malaysia telah menyumbang kepada usaha merapatkan jurang digital menerusi Gabungan Digital Partner2Connect ITU, dengan menyokong komuniti kurang mendapat perkhidmatan dan negara-negara membangun melalui pemberian biasiswa, latihan khusus serta perkongsian pengetahuan,” kata MCMC.

Menurut MCMC, di peringkat serantau, Malaysia menerusi Asia-Pacific Telecommunity (APT) telah memperkukuh kerjasama dan memajukan pendirian dasar bersama melalui resolusi berkaitan pengurusan spektrum, piawaian teknikal serta peningkatan keberkesanan institusi ITU.

”Sumbangan Malaysia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi kejayaan meraih Anugerah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Maklumat (WSIS) selama dua tahun berturut-turut, masing-masing pada 2025 menerusi NADI Digital Inclusive Project dan pada 2026 menerusi ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform oleh MCMC. MCMC turut menjadi Rakan Platinum WSIS bagi kedua-dua tahun tersebut. Selain itu, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada rangkaian Pusat Transformasi Digital (DTC) ITU pada April 2026,” kata kenyataan berkenaan.

Pengiktirafan ini kata MCMC menyerlahkan pendekatan Malaysia yang berteraskan komuniti dalam memperluas akses saksama kepada latihan kemahiran digital, khususnya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

”Berpandukan visi “Inclusivity for an Equitable Future” (Inklusiviti untuk Masa Depan yang Saksama), Malaysia terus memajukan masyarakat digital yang terhubung, inklusif dan selamat menerusi inisiatif nasional seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), NADI dan Kempen Internet Selamat (KIS),” kata MCMC.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here