”Saya berharap agar pada masa akan datang, pelantikan ke Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan “Yes Man”.”
KEMELUT Bersatu berterusan hari ini Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti itu.
Katanya, beliau turut akur bahawa perkhidmatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi telah dihentikan berikutan beliau tidak menyokong sepenuhnya pendirian Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa perkara tertentu.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB. Tan Sri Presiden di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk memikul amanah tersebut. Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya telah berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh integriti, keikhlasan, serta komitmen terhadap perjuangan parti.
Walau bagaimanapun, saya akur bahawa perkhidmatan saya sebagai Ahli Majlis Tertinggi telah dihentikan berikutan saya tidak menyokong sepenuhnya pendirian Presiden dalam beberapa perkara tertentu.
Saya menghormati keputusan tersebut, namun sebagai Ahli Majlis Tertinggi yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai ini.
Saya berpendapat bahawa proses transisi kuasa (transitional plan/succession plan) wajar dilaksanakan secara tuntas, segera dan berhemah demi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti. Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan.
Akhir sekali, saya berharap agar pada masa akan datang, pelantikan ke Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan “Yes Man”. Parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran.
Sekian, terima kasih atas peluang yang telah diberikan. Semoga perjuangan parti terus kukuh di bawah landasan yang benar dan bermaruah.


