SEORANG pengurus koperasi didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah menipu menggunakan dokumen sokongan palsu bagi mendapatkan pembiayaan peribadi pada 2022.
Hakim N Kanageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Ku Siti Zulaikha Mohamed Zakkariya, 39, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan pada 3 November lalu, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Ibrahim Ali, 61, dengan menggunakan dokumen sokongan yang mengandungi butiran palsu bagi permohonan pembiayaan peribadi.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam, Azlan Bohari.
Ketika rayuan, Azlan memohon mahkamah mengenakan denda kurang RM10,000 dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guamnya serta tanggungan keluarga.
Katanya, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai lima anak, termasuk seorang bayi yang masih menyusu badan, selain menanggung ibunya yang uzur berusia 66 tahun.
Beliau turut memaklumkan tertuduh memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan sebagai pengurus koperasi dan kesalahan itu adalah kesalahan pertamanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan RM10,000 dipulangkan selepas hukuman dijatuhkan.
Mengikut fakta kes, pada September 2022, tertuduh selaku Pengurus KOOPJB memohon pembiayaan peribadi Bai’ Al-Inah berjumlah RM56,000, sedangkan kelayakan pembiayaan bersihnya hanya RM33,938.22.
Bagi membolehkan permohonan itu diluluskan, tertuduh didakwa mengarahkan pembantunya mengubah suai laporan kredit SPKC-S dengan meminda gred risiko daripada 1 (lemah) kepada 5 (sederhana).
Beberapa maklumat kewangan lain turut diubah, termasuk baki hutang, penggunaan kredit dan rekod tunggakan bayaran.
Ibrahim yang juga Pengerusi KOOPJB kemudian meluluskan permohonan pembiayaan itu selepas meneliti laporan yang dikemukakan tanpa menyedari maklumat kewangan berkenaan telah diubah suai.





