Ibu maut, anak perempun usia enam tahun parah kemalangan di Tanjong Bungah

SEORANG  ibu maut, manakala anak perempuannya berusia enam tahun cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini.

Mangsa berusia 36 tahun itu dikatakan baru mengambil anaknya dari sekolah sebelum terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Difahamkan, dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu Ferringhi ketika kejadian.

Pegawai Pertahanan Awam Tanjung Bungah, Leftenan (PA) Mohammad Lili Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 12.46 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kedua-dua mangsa terbaring di atas jalan raya.

“Wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan, manakala anak perempuannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kanak-kanak itu kini dirawat di zon merah hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Buletin TV3.

Sementara itu, gambar kejadian yang tular di media sosial memaparkan orang ramai berkumpul di lokasi kemalangan.

Motosikal dinaiki dua beranak berkenaan serta bahagian hadapan kereta terbabit turut dilihat mengalami kerosakan teruk.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku berhampiran lokasi nahas maut membabitkan seorang wanita berusia 67 tahun pada awal tahun ini.

Dalam kejadian terdahulu, wanita berkenaan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai dipandu warga asing di bawah pengaruh alkohol ketika melintas jalan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here