PROJEK Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion akan memperkukuh daya tahan serta keselamatan rangkaian digital negara selain meningkatkan keterhubungan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata projek itu, yang dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM), melibatkan jajaran kabel dasar laut sepanjang kira-kira 5,500 kilometer dan 10 stesen pendaratan.
“Yang paling penting, kita bukan sekadar tambah kapasiti… kita sedang bina rangkaian digital negara yang lebih berdaya tahan, selamat dan bersedia untuk masa depan termasuk untuk Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata projek itu menggunakan teknologi Alcatel Submarine Networks (ASN) dari Perancis, yang juga antara pemain utama dunia dalam teknologi kabel dasar laut.
Fahmi berkata SALAM turut menyediakan laluan alternatif sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami gangguan selain menyokong pembangunan rangkaian 5G, perkhidmatan awan, kecerdasan buatan dan pusat data.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelaksanaan projek SALAM dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026 serta dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.





