KERAJAAN digesa mengkaji semula keputusan melupuskan aset hartanah milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada syarikat swasta bagi mengelakkan tindakan itu menjejaskan kepentingan jangka panjang pencarum, khususnya anggota dan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presiden Jaringan Anak Seni dan Usahawan (JASANUSA), Samsudin Awang berkata, prestasi semasa Boustead Plantation Bhd (BPlant), anak syarikat LTAT yang mencatatkan keuntungan, menunjukkan aset berkenaan masih mempunyai nilai ekonomi yang besar untuk dipertahankan.

Katanya, sekiranya penjualan itu perlu diteruskan, kerajaan sewajarnya mengutamakan pembeli daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sime Darby Plantation (SDP) yang mempunyai keupayaan dan rekod dalam industri perladangan.
“Kerajaan perlu mengkaji semula keputusan penjualan ini kerana ia pasti menimbulkan reaksi negatif berpanjangan, terutama dalam kalangan pencarum LTAT, warga tentera, bekas tentera dan masyarakat umum, khususnya Bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, isu pelupusan aset LTAT itu turut menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses penjualan, kewajaran pakej ditawarkan serta sejauh mana transaksi berkenaan mampu memberikan manfaat kepada institusi berkenaan dan pencarum.
Katanya, kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan perlu memberikan penjelasan berhubung rasional penjualan aset strategik itu serta sebab langkah berkenaan dipilih sebagai penyelesaian.
Samsudin berkata, isu itu timbul ketika persoalan mengenai pelupusan hak pajakan tanah milik LTAT di Ampang Hilir, Kuala Lumpur kepada Kedutaan Amerika Syarikat pada harga RM420 juta masih belum reda.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan LEGASI Research turut membangkitkan persoalan mengenai pengurusan aset tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), khususnya dari sudut pengagihan manfaat ekonomi jangka panjang.
Laporan itu antara lain mempersoalkan sama ada pelupusan tanah oleh GLC menyebabkan syarikat berkenaan melepaskan peluang memperoleh keuntungan pembangunan lebih besar, sedangkan pemaju swasta berpotensi menikmati pulangan berganda daripada pembangunan tanah berkenaan.
Menurut Samsudin, tanah strategik negara tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan keuntungan segera hasil penjualan, sebaliknya perlu dilihat sebagai sumber kekayaan jangka panjang dan instrumen pembangunan ekonomi untuk generasi akan datang.
“Persoalannya bukan sekadar sama ada tanah dijual pada harga munasabah, tetapi siapakah yang memperoleh manfaat ekonomi jangka panjang daripada tanah tersebut dan adakah GLC melepaskan peluang untuk memperoleh keuntungan pembangunan yang lebih besar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan sekurang-kurangnya menangguhkan terlebih dahulu proses penjualan berkenaan bagi membolehkan kajian menyeluruh dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Katanya, sesi libat urus perlu diadakan oleh pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah LTAT bersama pencarum, persatuan bekas tentera serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain memberikan ruang kepada media mendapatkan penjelasan secara terbuka.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan keputusan dibuat tanpa penelitian sewajarnya sehingga mencetuskan desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan pada masa hadapan.
Samsudin turut mengingatkan kerajaan bahawa isu pelupusan aset strategik berpotensi menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam perdebatan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).





